Psoriasis Tidak Berjangkit

Posted on November 14, 2015 · Posted in Pengetahuan am

Walaupun psoriasis merupakan iritasi ringan bagi sesetengah orang, ia boleh meninggalkan impak yang besar pada kualiti hidup terutama mereka yang menghidap psoriasis tahap yang lebih parah.

Sebagai contoh, sesetengah orang yang mempunyai psoriasis mempunyai tahap keyakinan diri yang rendah kerana kesan daripada kondisinya yang jelas kelihatan.

Ia juga merupakan perkara biasa jika pesakit juga merasa sakit dan bengkak pada sendi dan tisu penghubung. Ia dikenali sebagai artritis psoriatik.

Melihat kepada rupa keradangan yang kemerah-merahan dan bersisik, ramai yang salah faham memikirkan psoriasis boleh berjangkit melalui sentuhan.

Hakikatnya, psoriasis bukan penyakit yang boleh berjangkit melalui sentuhan dan pelukan malah ia juga bukan kanser. Ujar Dr. Khor, walaupun ia penyakit yang bersifat keturunan, bukan semua individu yang mewarisi gen psoriasis akan menghidapi penyakit ini.

“Psoriasis mungkin terpendam dan hanya menunjukkan petanda penyakit setelah terdapat interaksi yang kompleks di antara faktor persekitaran dan gen psoriasis.

“Risiko-risiko dan faktor-faktor pencetus penyakit termasuk merokok, minuman alkohol, obesiti, tekanan hidup, jangkitan kuman, ubat-ubatan seperti ‘beta blocker’, lithium, steroid dan anti-malaria serta kecederaan kepada kulit.

“Selain itu, sekiranya terdapat sejarah ahli keluarga yang menghidap psoriasis, seseorang individu mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding individu lain untuk mendapat penyakit ini,” terangnya.

Psoriasis biasanya dikenalpasti secara klinikal dan tidak ada ujian darah khas. Diagnosis disahkan apabila pemeriksaan kulit menunjukkan kewujudan plak dan pesakit mempunyai anggota keluarga lain yang menghidap psoriasis.

Namun demikian, persampelan kulit untuk pemeriksaan di bawah mikroskop mungkin dibuat sekiranya terdapat sebarang kemusykilan.

Tegas Dr. Khor, seseorang yang menyedari kelainan pada kulitnya seperti yang diterangkan, segera mengaturkan temujanji untuk berjumpa pakar kulit atau pakar dermatologi bagi mendiagnosis masalah tersebut.

Psoriasis merupakan penyakit yang sukar disorok kerana tompok-tompok merah di kulit senang dinampak oleh orang. Pesakit-pesakit Psoriasis mempunyai kualiti hidup yang rendah, sering disisihkan oleh kawan-kawan dan ahli-ahli keluarga, mempunyai keyakinan diri yang rendah dan berasa malu kerana penyakit mereka.

Terang Dr. Khor, rawatan awal amat penting bagi penghidap psoriasis kerana selain dapat meningkatkan kualiti hidup dengan mengawal gejalanya, ia juga bagi mengelakkan masalah-masalah lain yang berkait rapat.

“Dalam kes yang ekstrem, pesakit menjadi murung dan berkecenderungan untuk membunuh diri. Mengikut kajian, terdapat seramai 10 peratus pesakit psoriasis pernah berfikir tentang bunuh diri.
“Selain itu, radang sendi perlu dikesan awal supaya rawatan dapat diberikan untuk mencegah kecacatan. Kajian terbaru juga menunjukkan pesakit psoriasis berisiko tinggi untuk menghidap kencing

manis, darah tinggi, penyakit kolesterol, obesiti, kanser, penyakit auto-imun dan penyakit jantung koronari yang memendekkan jangka hayat pesakit psoriasis.

“Risiko untuk mendapat penyakit jantung juga boleh dikurangkan dengan rawatan awal psoriasis yang berkesan,” ujarnya

Sambutan Hari Psoriasis Sedunia disambut setiap 29 Oktober sejak tahun 2004, diilhamkan oleh pesakit yang menghidapi psoriasis atau artritis psoriatik untuk pesakit lain.

Hari Psoriasis Sedunia adalah satu acara global yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai serta pesakit psoriasis, menambahkan pengetahuan pesakit psoriasis tentang penyakit psoriasis dan sebagai platform pesakit psoriasis untuk menyuarakan hasrat mereka bagi mendapatkan akses rawatan dengan lebih mudah dan baik.

Pada 7 November lalu, Persatuan Penyayang Pesakit Psoriasis Pulau Pinang (PPPPPP), Persatuan Psoriasis Kedah (PPK), Persatuan Dermatologi Malaysia (PDM), Jabatan Dermatologi Hospital Pulau Pinang, Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah dan Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh menganjur Hari Kesihatan Kulit bersempena Hari Psoriasis Sedunia 2015 yang diadakan di Padang Polo, Georgetown Penang.

Program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran dan pengetahuan mengenai pejagaan kulit yang asas dan masalah kulit yang biasa terutama mengenai psoriasis dan artritis psoriatik serta menekankan perhatian dan peluang yang patut diberi sama rata kepada mereka yang menghidap psoriasis.

Untuk keterangan lanjut mengenai psoriasis, Persatuan Dermatologi Malaysia menyediakan platform khas di http://www.dermatology.org.my/.

Tahap keradangan psoriasis berbeza setiap individu. Bagi sesetengah orang, ia hanya iritasi kecil, tetapi ada juga yang mendapat impak besar terhadap kualiti hidup mereka.

Psoriasis adalah penyakit kronik yang berlarutan, biasanya ada tempoh pesakit tidak mengalami apa-apa simptom atau simptom yang sederhana diikuti dengan tempoh yang mana simptomnya lebih teruk.

Sekiranya berdasarkan bentuk rupa psoriasis, ia boleh dibahagikan kepada lima jenis. Plaque psoriasis yang merangkumi 90 peratus daripada keseluruhan kes-kes psoriasis merupakan jenis psoriasis yang paling kerap dijumpai.

Ciri utama jenis psoriasis ini adalah tompok-tompok (plak) merah dengan sisik putih tebal yang kelihatan di badan, siku, lutut dan kadang kala di kulit kepala dan muka.

Psoriasis juga boleh muncul dalam bentuk yang lain seperti gutatte psoriasis (tompok kecil serupa titik hujan), pustular psoriasis (jenis yang bernanah), inverse psoriasis (tompok-tompok di bahagian ketiak, celah punggung dan bawah buah dada) dan erythrodermic psoriasis yang mana 90 peratus permukaan badan menjadi kering, merah dan bersisik.

Kadang-kala, tompok psoriasis cuma terhad kepada permukaan badan kecil yang tertentu seperti tapak tangan dan kaki contohnya palmoplantar psoriasis atau kepala iaitu scalp psoriasis.

“Jenis variasi psoriasis ini sering menimbulkan kekeliruan dan mungkin dirawat salah sebagai penyakit-penyakit lain seperti alahan iaitu ekzema atau kelemumur.

“Selain daripada kulit, psoriasis boleh menyebabkan radang sendi dan sendi akan menjadi merah, bengkak dan sakit. Dalam kes-kes tertentu, kecacatan sendi yang teruk boleh berlaku sekiranya pesakit tidak mendapat rawatan yang sewajarnya. Radang sendi oleh psoriasis biasanya berlaku di sendi-sendi tangan dan kaki, lutut dan bahagian pergelangan kaki,” terang Dr. Khor.

Kuku juga sering terjejas dalam psoriasis. Kerosakan kuku boleh berlaku dan rawatan untuk kuku biasanya sukar dan kurang berkesan. Kewujudan psoriasis di kuku juga meningkatkan risiko seseorang untuk mendapat radang sendi psoriasis.

Sumber : Utusan MalaysiaMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.