Masih ramai lagi rakyat Malaysia yang tidak menyukai sayur terutama sekali sayuran hijau. Tahukah anda sayuran terutamanya yang berwarna hijau mempunyai banyak khasiat yang terkandung di dalamnya? Sayuran hijau adalah sumber nutrisi dan mineral untuk tubuh kita. Dengan sentiasa mengamalkan pemakanan sihat ini, kita dapat mengurangkan kadar risiko pelbagai penyakit. Anda mendapat lampu hijau untuk makan sebanyak mana pun sayuran hijau kerana ia amat bagus untuk anda. Mari kita lihat khasiatnya.
Membantu proses menurunkan berat badan
Sayuran hijau adalah semula jadi rendah karbohidrat tetapi kaya dengan serat yang menjadikan ia lambat untuk di hadamkan. Maka ia akan membantu anda berasa kenyang untuk tempoh yang lebih lama. Kelebihan utama sayuran hijau adalah ia sangat rendah kalori yang telah membuktikan bahawa ia sesuai di jadikan menu untuk membantu proses penurunan berat badan.
Mencantikkan kulit
Oleh kerana sayuran hijau mengandungi banyak kandungan air, ia membantu badan untuk kekalkan kelembapan dan ianya menyumbang kepada kulit dan rambut yang lebih cantik. Anti oksidan seperti vitamin C yang terdapat di dalam sayuran hijau juga membantu tubuh untuk membuat kolagen yang juga membantu mencantikkan kulit dan rambut selain mengurangkan risiko arthritis. Vitamin E dan vitamin C bergabung untuk mengekalkan kulit yang sihat walaupun meningkat usia.
Membina dan memperbaiki tulang
Sesetengah sayuran hijau seperti sayur kailan adalah tinggi dengan kalsium dapat membantu memastikan gigi dan tulang sentiasa kuat. Ia juga dapat mengurangkan risiko menghidap osteoporosis. Sayur yang mengandungi kalium juga mempunyai fungsi yang sama. Untuk mendapatkan tulang yang kuat, badan kita memerlukan kalsium, vitamin D dan vitamin K yang bekerjasama untuk membina dan membaiki tulang.
Memastikan sistem imun kuat
Akhir sekali, sayuran hijau seperti bayam, mengandungi beta-karotena yang membantu melindungi sel daripada rosak, meningkatkan fungsi imun dan melingdungi mata daripada penyakit yang berkaitan usia. Ia juga menyumbang kepada pertumbuhan dan pembaikan tisu badan.




