Cirit-birit memang kerap berlaku dalam kehidupan seseorang namun ia perlu diuruskan dengan betul melalui nasihat pegawai perubatan.
Sewaktu mengalami cirit-birit, najis bersifat berair serta mengakibatkan kehilangan cecair yang banyak dari tubuh badan dalam kadar yang cepat sehingga mendedahkan pesakit kepada risiko penyahhidratan.
Semua peringkat umur menghadapi risiko penyahhidratan apabila mereka diserang cirit-birit namun golongan terdedah kepada risiko yang tinggi adalah bayi dan kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sebanyak 1.7 bilion kes penyakit cirit-birit berlaku setiap tahun di seluruh dunia yang juga punca kedua bagi kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun.
Bagaimanapun, negara di Asia Timur dan Pasifik berjaya mencapai kejayaan besar dalam mengurangkan kematian kanak-kanak dalam tempoh 20 tahun lalu.
Melalui kesedaran dan langkah rawatan segera, jumlah kematian di bawah usia lima tahun menurun dengan mendadak dari 2.2 juta pada 1990 kepada hampir 700,000 pada 2010.
Dalam kes kematian kanak-kanak bawah usia lima tahun, cirit-birit menyumbang kepada hampir satu pertiga daripada kematian terbabit yang kebanyakannya berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang paling miskin.
Di Malaysia pula, insiden cirit-birit akut berlaku paling tinggi dalam kalangan golongan muda yang berusia 20 hingga 29 tahun.
Satu kajian tempatan pada 2006 dalam kalangan kanak-kanak di bawah usia lima tahun mendedahkan kira-kira 4.9 peratus kematian yang berlaku berpunca daripada cirit-birit.
Bagaimanapun, keadaan itu masih kurang diberi perhatian dan kekal sebagai masalah kesihatan awam yang utama.
Cirit-birit biasanya berpunca daripada virus atau bakteria yang merebak melalui makanan atau air minuman yang tercemar akibat tahap kebersihan yang rendah.
Jangkitan virus atau bakteria akan mengeluarkan toksin yang menyebabkan usus merembeskan air yang berlebihan atau dikenali sebagai hipersekresi.
Terapi rehidrasi
Jumlah air yang dirembeskan pula terlalu banyak sehingga ia tidak boleh diserap semula oleh usus besar. Ini mengakibatkan najis yang kerap dan berair selain kehilangan air dari badan dalam jumlah yang membimbangkan.
Sehubungan itu, terapi rehidrasi oral (ORT) akan diberikan kepada pesakit iaitu mereka perlu meminum banyak cecair, mengambil larutan khas rehidrasi oral atau mengambil cecair atau elektrolit secara intravena.
Ini penting dalam menguruskan cirit-birit akut untuk mencegah penyahhidratan. Namun, ORT tidak menangani simptom cirit-birit akut yang lain seperti kekembungan dan rasa mual.
Pada masa sama, ubat anti-ciri-birit sedia ada mampu mengurangkan kekerapan seseorang itu untuk pergi ke tandas tetapi ia turut dikaitkan dengan kesan sampingan seperti sembelit.
Tambahan pula, pilihan rawatan untuk cirit-birit akut bagi bayi dan kanak-kanak agak terhad kerana kebanyakannya untuk orang dewasa.
Menjelaskan perkara itu, pakar perunding pediatrik dan kardiologi pediatrik Datuk Dr Zulkifli Ismail berkata, cirit-birit adalah masalah kesihatan biasa berlaku dalam kalangan kanak-kanak kecil namun ia sering kali tidak diuruskan
dengan baik.
Katanya, cirit-birit adalah penyakit kedua selepas jangkitan paru-paru akut yang menyebabkan kematian kanak-kanak di bawah usia lima tahun di seluruh dunia
pada 2004.
“Sebanyak dua bilion kes cirit-cirit dalam kalangan kanak-kanak kecil dilaporkan setiap tahun dan 1.5 kematian direkodkan setiap tahun. Kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak di bawah usia dua tahun.
“Namun begitu, penyakit cirit-birit boleh dirawat dan dielakkan sekiranya diuruskan dengan betul.
“Melalui kes terbaru cirit-birit yang dilaporkan antara 2010 hingga 2011
di seluruh dunia, kematian yang dilaporkan adalah 700,000 dengan 72 peratus daripadanya membabitkan kanak-kanak yang berusia di bawah usia dua tahun,” katanya.
Antara risiko yang membawa kematian kepada kanak-kanak apabila mereka mengalami cirit-birit adalah keadaan kesihatan yang lemah akibat kurang nutrisi, tidak diberikan susu ibu secara eksklusif, kurang zink serta diserang Rotavirus, iaitu virus penyebab cirit-birit dalam kalangan kanak-kanak yang paling biasa berlaku namun melalui vaksin, ia boleh dielakkan.
Susu eksklusif
Penyusuan susu ibu yang tidak eksklusif menjejaskan kesihatan bayi kerana mereka tidak mendapat kolostrum iaitu susu pertama yang dikeluarkan ketika proses laktasi. Ia mengandungi antibodi yang penting dalam melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan.
Pemberian air bergula atau dicampur dengan madu, memperkenalkan susu formula lebih awal dan memisahkan susu ibu dalam tempoh lebih awal, dikaitkan dengan kadar kesihatan yang lemah dalam kalangan bayi serta kematian mereka.
Di negara membangun, kurang kesedaran menyusukan bayi secara eksklusif sekurang-kurangnya untuk tempoh enam bulan pertama dikaitkan dengan risiko tinggi cirit-birit. Kandungan antibodi dalam susu ibu mampu melindungi serta mengelak penyakit itu.
Rotavirus pula penyebab utama cirit-birit dalam kalangan bayi dan kanak-kanak iaitu hampir semua pernah dijangkiti virus itu sekurang-kurangnya sekali dalam hidup sebelum mencecah usia lima tahun.
Biarpun mudah dirawat, masih ramai kanak-kanak di bawah usia lima tahun meninggal dunia akibat Rotavirus setiap tahun di seluruh dunia, kebanyakannya di negara membangun.
Kajian Kematian
Di Bawah Usia Lima Tahun di Malaysia pada 2006 mendapati Orang Asli berkemungkinan 8.7 kali ganda mati akibat cirit-birit berbanding orang Melayu.
Menurut Dr Zulkifli, cirit-birit mengakibatkan dehidrasi atau kekeringan tubuh, seterusnya mampu mengancam nyawa.
Antara tanda yang menunjukkan seseorang itu mengalami risiko dehidrasi adalah jumlah air kencing yang sedikit atau langsung tidak ada, kencing berwarna kuning pekat, kehilangan berat badan secara mendadak, kulit menjadi kendur dan kurang anjal, lekuk pada kawasan lembut kepala bayi, tangisan tanpa air mata, mulut kering dan nadi pantas.
Mata cengkung
Antara tanda lain dehidrasi adalah rasa letih melampau, mata cengkung, sukar minum atau minum sedikit dan apabila kulit ditekan, ia lambat kembali ke bentul asal.
“Langkah yang boleh diambil bagi melindungi diri daripada cirit-birit termasuk penyusuan susu ibu secara eksklusif, mengamalkan langkah lebih efektif dalam penyediaan makanan dan minuman, menggunakan air bersih, selalu mencuci tangan, menjaga kebersihan tandas, memastikan makanan bebas kotoran serta mendapatkan imunisasi untuk demam campak.
“Selain ORT, rawatan yang disaran kepada pesakit cirit-birit adalah pengambilan suplemen zink selama dua minggu dan menjaga pemakanan,” katanya pada majlis pelancaran Hidrasec (Racecadotril) oleh Abbott yang boleh merawat cirit-birit akut bagi bayi seawal tiga bulan. Ia boleh didapati melalui preskripsi doktor dan ahli farmasi.
Ia secara khusus menyekat mekanisme yang membolehkan toksin penyebab pengeluaran cecair secara berlebihan dalam usus kecil, seterusnya mengawal rembesan, lalu memulihkan keseimbangan cecair dan elektrolit yang membawa kepada penyelesaian simptom cirit-birit.




