Saban hari kita pasti mendengar kes-kes buli yang berlaku di sekolah Ibu bapa pasti risau memikirkan keselamatan anak-anak mereka di sekolah. Tapi bagaimanakah sekiranya Anak Anda Merupakan Seorang Kaki Buli? Terdapat beberapa cara untuk berhadapan dengan anak-anak seperti ini. Kebanyakan ibu bapa pasti tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak mereka merupakan kaki buli. Sekiranya diberitahu, mereka pasti akan menafikannya.
Kadang kala pihak sekolah dan rakan-rakan anak anda sendiri perlu meyakinkan anda bahawa anak anda sebenarnya seorang kaki buli! Jika anda mengetahui kebenaran ini, segeralah memikirkan tindakan yang harus diambil bagi menangani masalah ini daripada berlanjutan.
Kebanyakan sekolah kini mengamalkan polisi anti buli. Walaubagaimanapun, kita perlulah mengetahui apa sebenarnya yang dikatakan sebagai buli. Buli boleh didefinisikan sebagaipenindasan secara fizikal ataupun psikologi ke atas orang lain yang dilakukan secara berterusan dengan tujuan untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Setiap sekolah secara umumnya telahpun menggariskan apa yang patut dilakukan oleh guru dan staf sokongan sekiranya berlaku kes buli. Banyak sekolah menawarkan khidmat nasihat dan latihan untuk ibu bapa sebaik sahaja polisi mereka dikenalpasti.
Sesetengah ibu bapa pada masa kini sudah terbiasa untuk menengking anak-anak mereka, merampas segala barangan dan keperluan, menyekat kebebasan mereka dan lebih teruk lagi memukul anak-anak mereka tanpa rasa bersalah.Akhirnya anak-anak yang diperlakukan sedemikian akan memberontak kerana tindakan seperti itu tidak akan memberi pengajaran kepada anak-anak tetapi hanya akan mewujudkan api dendam dalam diri mereka. Terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan oleh ibu bapa sekiranya anda mendapati anak-anak anda membuli. Contohnya :
Berhenti menafikannya dan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Berbincang dengan anak anda mengapa mereka berkelakuan sedemikian.
Mengenal pasti tindakan yang bakal diambil oleh pihak sekolah kepada pembuli.
Berbincang dengan jiran tetangga, saudara mara dan sahabat handai supaya saling mengingatkan sekiranya mendapati anak anda membuli.
Konsisten dan tegas dengan tindakan yang bakal diambil ke atas anak anda.
Pertama sekali, berhenti menafikan bahawa anak anda bukanlah seorang pembuli dan ambil tindakan drastik bagi mengenal pasti punca masalah ini boleh berlaku. Cuba fikirkan cara untuk menghentikan semua ini dan hukuman yang sesuai dikenakan kepada anak anda.
Kenalpasti punca bagaimana anak anda boleh menjadi pembuli. Dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang menjadi pembuli sering kali didera terutamanya ketika berada di rumah. Oleh itu, penglibatan ibu bapa dalam masalah ini merupakan langkah yang paling wajar. Kanak-kanak yang didera secara fizikal mahupun mental merasakan bahawa mereka tidak berdaya untuk mendapatkan pembelaan dan pertolongan. Oleh itu, apabila mereka dikelilingi kanak-kanak yang lebih lemah dan lebih kecil, mereka pasti merasakan bahawa diri mereka jauh lebih berkuasa. Pembuli akan cuba untuk menunjukkan kekuasaannya dengan memukul mereka yang lemah supaya dia dapat mengawal keadaan sepenuhnya. Walaubagaimanapun, memperbetulkan situasi di rumah jauh lebih sukar berbanding di sekolah.
Kadang kala kanak-kanak menjadi pembuli disebabkan rakan-rakan di sekeliling mereka yang terlalu memilih dalam berkawan walaupun sebenarnya mereka seorang yang baik. Pembuli sering dilihat berbeza berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Mungkin kerana saiz badannya yang lebih besar atau mungkin kerana keadaan hidupnya yang miskin dan sering diejek membuatkan mereka rasa tertekan dan memberontak. Perasaan marah yang membuak-buak ini akhirnya dilepaskan kepada kanak-kanak lain yang lebih lemah. Oleh itu, ibu bapa perlulah berbincang secara terbuka dengan anak-anak mereka sekiranya mereka diejek atau dipulaukan bagi mengenal pasti jalan penyelesaiannya. Kaunseling juga merupakan antara cara terbaik bagi membantu pembuli kembali ke pangkal jalan.
Kenal pasti apakah polisi sekolah anak anda tentang masalah buli dan hukuman yang akan dikenakan. Berbincanglah dengan semua orang disekeliling anda supaya sekiranya mereka melihat kes buli berlaku, segeralah menghubungi ibu bapa kanak-kanak berkenaan supaya tindakan sewajarnya dapat diambil. Kebanyakan sekolah berpegang kepada polisi sifar buli dan sanggup bekerjasama dengan ibu bapa bagi menangani masalah ini daripada berterusan.
Kesimpulannya, hukuman sewajarnya patut dikenakan supaya kanak-kanak ini tidak mengulangi kesalahan mereka. Setiap kanak-kanak berbeza antara satu sama lain. Namun kesannya mestilah konsisten dan menyeluruh. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab dengan tidak menafikan bahawa anak anda merupakan seorang pembuli. Setiap ibu bapa pasti tidak senang duduk sekiranya mengetahui bahawa Anak Anda Merupakan Seorang Kaki Buli kerana banyak cabaran dan dugaan harus ditempuhi bagi menjernihkan kembali keadaan.




