RAMAI pelajar yang apabila mahu belajar terasa mengantuk. Ada pula yang tidak sampai 10 minit berada depan buku, mata terasa berat. Tidak tahu apa yang dibaca dan ini merugikan diri pelajar itu sendiri. Bab ini membincangkan faktor-faktor menyebabkan mengantuk semasa belajar dan bagaimana cara mengatasinya.
Tidak cukup tidur
Ini punca utama ramai pelajar mengantuk apabila guru mengajar. Ada sesetengah pelajar yang tidur lewat malam sehingga pukul satu pagi. Sedangkan esok hari persekolahan dan terpaksa bangun awal. Ada yang tidur lewat kerana menelaah pelajaran. Ada pula pelajar yang tidur lewat kerana membuang masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti mendengar radio dan bersembang di Internet sehingga pagi. Apabila ini masalah-nya, nyatalah yang anda belum menetapkan matlamat dalam hidup anda. Pelajar yang bermatlamat tidak membuang masa dengan urusan yang sia-sia. Sekiranya anda tidur lewat kerana mengulang kaji pelajaran anda juga perlu ubah tabiat buruk ini. Ingat pelajar yang cemerlang adalah pelajar yang bijak belajar (study smart) bukan kuat belajar semata-mata (study hard).
Tidur yang berlebihan
Tidur yang lama dan kerap juga menjadikan anda mengantuk. Tidur yang mencukupi adalah enam hingga lapan jam sehari. Pastikan anda tidak tidur Iebih dari tempoh waktu ini. Tidur yang berlebihan membuatkan badan terasa lemah dan malas. Berat badan juga turut bertambah.
Makan banyak
Ini juga adalah satu tabiat buruk. Apabila anda kuat makan, perut terpaksa bekerja kuat menghadamkan makanan itu. Proses penghadaman ini memerlukan banyak oksigen dan mengerah banyak tenaga. Ini membuatkan anda mudah mengantuk semasa dalam kelas dan mengulang kaji disebabkan oksigen kurang dihantar ke otak. Sekiranya anda makan makanan berat seperti nasi, pastikan is dimakan sekurang-kurangnya dua jam sebelum belajar. Oleh kerana itu, elok makan awal sebelum pukul tujuh petang supaya tidak mengganggu belajar anda di waktu malam.
Badan letih
Ada masanya anda mengantuk disebabkan badan anda letih dengan aktiviti sepanjang hari. Sekiranya anda ada masalah mengantuk cuba senaraikan semua aktiviti luar anda. Ada masanya anda bersukan ataupun beriadah secara keterlaluan. Misalnya, bermain bola di waktu petang secara berlebihan. Berbasikal di sekeliling kampung berjam-jam. Semua aktiviti ini memerah keringat dan membuatkan anda keletihan.
Beriadah dan senaman memang baik bagi kesihatan tetapi tujuan serta caranya biarlah betul. Perbaiki matlamat anda berriadah. Anda beriadah bagi membolehkan anda segar pada waktu malamnya bagi menelaah pelajaran. 20 hingga 30 minit sehari sudah mencukupi.
Ada pula sesetengah pelajar keletihan disebabkan aktiviti ko-kurikulum yang berlebih-lebihan. Anda tidak perlu begitu aktif dalam kegiatan ko-kurikulum sehinggakan tiada masa bagi mengulang kaji dan memenatkan badan. Terlibat secara ala kadar. Pilih satu ataupun dua aktiviti yang paling anda minati dan mampu memberikan sumbangan terbaik kepada sekolah. Tidak ada gunanya kegiatan ko-kurikulum anda cemerlang sedangkan SPM anda kecundang. Tidak ada gunanya menjadi olahragawan ataupun olahragawati sekolah tetapi akhirnya gagal ke universiti.
Oleh itu pastikan kegiatan harian anda seimbang antara pencapaian akademik dan penglibatan kokurikulum. Pastikan anda tidak kesuntukan masa. Pastikan anda tetap segar dan tidak mengantuk pada malamnya.
Tiada minat belajar
Masalah ini sering dijadikan alasan oleh ramai pelajar. Sebelum kita pergi lebih jauh cuba fikirkan sejenak antara MINAT dengan BELAJAR manakah wujud terlebih dahulu? Minat tidak tercetus dengan sendirinya dalam diri anda. la sesuatu yang wujud disebabkan pengaruhpengaruh tertentu seperti guru yang baik, penguasaan pelajaran yang sempurna, markah yang tinggi dan sebagainya.
Pernahkah anda mendengar adanya pelajar yang dapat markah 90 peratus dalam sejarah berkata yang dia tidak minat sejarah? Tidak! Timbulnya minat disebabkan anda lihat dalam diri ada potensi bagi pergi lebih jauh. Minat mula timbul apabila anda dapat rasakan yang anda mula menguasai sesuatu mata pelajaran.
Oleh itu yang perlu anda perbaiki adalah cara belajar dan kegigihan anda sendiri. Anda perlu mempunyai kemahiran belajar yang tinggi supaya mudah menguasai setiap perkara baru yang dipelajari.
Membaca hanya satu hala
Ramai pelajar yang membaca dan mengharapkan input semata-mata. Mereka mengharapkan melalui pembacaan setiap maklumat disuap dari buku ke dalam minda. Proses membaca begini adalah proses sehala. la cukup menjemu dan membosankan. Anda perlu berinteraksi secara interaktif antara anda dan buku yang dibaca. Bagi menjadikan proses membaca lebih bersifat dua hala anda perlu lakukan perkara yang berikut:
- Dapatkan 10 hingga 20 soalan berkaitan tajuk yang mahu anda baca sebelum anda membaca teksnya. Fahami kehendak soalan ini. Apabila anda membaca kelak anda pasti menemui jawapan kepada soalan dan ini pasti meningkatkan tumpuan dan minat anda.
- Sentiasa tanya diri anda sebarang soalan yang bermula dengan Apa? Siapa? Bila? Di mana? Berapa? Kenapa? dan Bagaimana? Ini membuatkan anda sentiasa mencari maklumat bukan sekadar mengharapkan maklumat itu tersedia bagi anda.
- Selepas satu perenggan ataupun satu muka surat, berhenti sejenak. Tanyakan diri anda sekali lagi mengenai apa yang anda ketahui sebentar tadi. Cuba lakarkan pada sehelai kertas rajah ataupun fakta-fakta penting yang anda ketahui. Cuba ceritakan semula pada diri anda apa yang anda baca. Ceritakan dalam suara yang boleh didengar oleh telinga anda sendiri. Dengan cara ini anda menggunakan keseluruhan otak bagi memproses maklumat.
- Buat nota ringkas. Jangan sekadar membaca sahaja. Cuba kenal pasti kata kunci dan ringkaskan setiap fakta penting ke dalam bentuk nota ringkas. Dengan melibatkan lebih banyak deria dalam satusatu proses membaca membuatkan anda rasa seronok. Dengan membuat nota ringkas anda sebenarnya menggunakan bahagian kinestatik diri anda. Apabila sekadar membaca sahaja tanpa sebarang penghasilan nota anda cuma gunakan bahagian visual dan auditori semata-mata. Penglibatan bahagian kinestatik penting kerana ia mengukuhkan lagi ingatan anda pada apa yang anda pelajari.