Duduk lama Mengurangkan Nyawa

Posted on October 12, 2015 · Posted in Pengetahuan am

MEMANDANGKAN waktu harian kebanyakannya habis di tempat kerja, perubahan gaya hidup perlu dilakukan di pejabat dan bukan sahaja tanggungjawab individu, ia turut perlu mendapat sokongan majikan.

Selain bergerak atau melakukan regangan badan selang sejam ketika di pejabat dan menggunakan tangga menggantikan lif, majikan turut perlu memberi sokongan bagi menggalakkan pekerja menjalani kehidupan yang lebih sihat.

Menurut Dr. Raja Ahmad Shaharul, kesedaran kesejahteraan korporat di Malaysia masih kurang sedangkan ia amat penting bagi meningkatkan produktiviti syarikat selain pulangan yang lebih.

“Sepatutnya majikan perlu menyediakan suasana kerja yang menyihatkan pekerja seperti menyediakan gymnasium untuk pekerja bersenam, menganjurkan aktiviti sukan, memastikan makanan-makanan yang menyihatkan di kantin dan lain-lain.

“Secara am, jika pekerja sihat, produktiviti turut meningkat selain kurang cuti sakit dan belanja perubatan pekerja. Semua ini satu pelaburan untuk syarikat tersebut.

“Ada kajian di AS, setiap AS$1 yang dilaburkan dalam kesejahteraan korporat, mereka akan mendapat pulangan sebanyak AS$3 kerana secara jangka masa panjang, majikan dapat jimat dari segi kos perubatan. Bayangkan jika dapat mengelak satu serangan jantung dari usaha kesejahteraan korporat sahaja, majikan dapat jimat ribuan ringgit,” terangnya.

Ujarnya, pengalaman bekerja di United Kingdom selama 15 tahun membuka matanya terhadap usaha majikan-majikan di sana yang amat mementingkan kesejahteraan korporat yang jauh beza di Malaysia.

Terdapat beberapa syarikat di Malaysia yang boleh menjadi contoh kerana menjaga kesejahteraan korporat. Dr. Raja Ahmad Shaharul memberi contoh pejabat Google yang menggalakkan pekerjanya untuk berjalan, menyediakan program senaman dan kafeteria yang terdiri daripada makanan yang menyihatkan.

Walaupun disarankan bersenam 30 minit sebanyak lima kali seminggu, individu perlu mengekalkan kehidupan seharian yang aktif bagi mengekalkan manfaat senaman tersebut.

Begitu juga mereka yang aktif bersenam pada hari minggu, ia menjadi sia-sia jika tidak konsisten aktif pada hari lain kerana manfaat senaman itu akan berkurangan.

“Kesedaran pada masyarakat amat penting dan tidak boleh diambil mudah kerana apa yang kita lakukan sekarang dari segi kesihatan, ia hanya akan terlihat 20 hingga 30 tahun lagi, bukannya sekarang.

“Saya pasti anda tidak mampu berjalan pada usia 60 tahun akibat penyakit kronik seperti lumpuh. Jangka hayat kita juga dilihat semakin panjang yang mana secara purata jangka hayat kita menginjak hingga 76 tahun tetapi jika penyakit kronik datang lebih awal tidakkah ia akan membuatkan hidup merana dalam masa panjang,” ujarnya.

Kanak-kanak

Kata Dr. Raja Ahmad Shaharul, penyakit duduk ini bukan sahaja berada di kalangan orang dewasa, ia turut dilihat melibatkan kanak-kanak memandangkan kanak-kanak zaman sekarang kurang aktif berbanding dahulu.

Perkembangan teknologi dengan gajet dan permainan komputer sebagai permainan utama membuatkan kanak-kanak tidak aktif bermain dan melakukan aktiviti fizikal seperti dahulu dan ini boleh dilihat dari saiz badan kanak-kanak sekarang yang obes berbanding dahulu.

“Sebanyak 30 peratus kanak-kanak yang kurang aktif akan menjadi obes. Mengikut kajian, kanak-kanak obes akan tidak hadir ke sekolah lebih dua hari berbanding kanak-kanak biasa dan secara am, markah ujian mereka juga rendah.

“Ada kajian menunjukkan jika kita sebagai ibu bapa tidak aktif, anak-anak akan berisiko tinggi untuk lebih tidak aktif. Kanak-kanak begitu cepat mengikut apa yang dilihatnya. Jika kita tidak memberi contoh yang baik kepada mereka, ia akan memudarat mereka dalam jangka masa panjang,” terangnya.

Ibu bapa memainkan peranan yang penting kerana gaya hidup akan dibawa sehingga ke dewasa dan ia akan menyusahkan mereka bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi sosial dan ekonomi.

Lebihkan masa bersama anak-anak dengan membawa mereka bermain di taman kerana selain mereka dapat bergerak aktif, anda dapat menggunakan masa tersebut untuk bersenam bersama, ujarnya.

Sumber : Utusan MalaysiaMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.