Saat hamil dan melahirkan merupakan saat indah bagi seorang wanita yang telah berumahtangga. Setiap pasangan pasti inginkan zuriat sebagai penyambung generasi mereka di masa akan datang.
Bagaimanapun di saat hamil dan bersalin, si ibu memerlukan banyak sokongan dan bantuan sama ada daripada segi mental atau fizikal terutama daripada pasangan serta ahli keluarga terdekat masing-masing.
Perubahan hormon dan keadaan hamil menyebabkan mood mereka berubah, sensitif, lemah dan letih bagi menghadapi hari-hari kehamilan dan menjelang kehamilan. Tanpa sokongan dan bantuan serta kurang kekuatan dalaman.
Wanita hamil bukan saja memerlukan sokongan pasangan tetapi juga ahli keluarga terdekat bagi memberikan sokongan kepada mereka dalam menghadapi hari-hari yang mendatang.
Bagaimanapun akhir-akhir ini terdapat beberapa kes ibu yang mencederakan dan ada yang sampai membunuh anak mereka mungkin kerana tekanan selepas bersalin. Terkini seorang ibu yang baru bersalin 10 hari membunuh diri dengan alasan tidak dapat menyusukan bayinya.
Selain itu banyak kes di mana ibu yang hamil tanpa suami yang bukan saja membuang tetapi juga membunuh bayi mereka mungkin disebabkan tekanan perasaan.
Menurut pensyarah di Jabatan Psikologi Perubatan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, terdapat tiga jenis gangguan perasaan yang berlaku di kalangan wanita selepas bersalin bermula dengan tekanan perasaan ringan yang biasa dikenali dengan baby blues, tahap pertengahan dipanggil post partum depresi dan tahap paling kronik adalah post partum psikosis atau biasa dikenali sebagai meroyan dalam kalangan orang Melayu.
Jenis tekanan lepas bersalin
npost partum blues
n post partum depression
n post partum psikosis
“Post partum blues atau biasa dikenali sebagai baby blues adalah istilah yang digunakan untuk menggambarkan tekanan perasaan paling ringan biasa dialami oleh ibu baru yang melahirkan.
“Baby blues biasanya dialami oleh 50 hingga 60 peratus wanita selepas bersalin. Biasanya mereka menunjukkan tanda-tanda seperti kemurungan, kecemasan, kesedihan, menangis, insomnia dan keletihan. Baby blues biasanya berlaku pada hari ketiga, hingga ke sepuluh setelah melahirkan sehingga tempoh dua minggu. Dan biasanya keadaan ini akan hilang dengan sendiri,” katanya.
Tahap kedua atau dikenali sebagai post partum depression biasanya berlaku pada sekitar 10 peratus wanita yang telah melahirkan. Berbeza dengan baby blues, post partum depression biasanya muncul pada selepas tiga minggu si ibu melahirkan. Gejala yang muncul meliputi perubahan pada suasana hati yang biasanya lebih parah dan berlangsung lebih lama.
Tanda-tanda postpartum depression di antaranya adalah si ibu biasanya menangis sambil mengucapkan kata-kata tidak jelas, konsentrasi yang buruk, sukar membuat keputusan, sedih, perasaan tidak mampu dan kadang kala cenderung untuk membunuh diri.
Gejala di atas kadang-kala diiringi juga dengan munculnya beberapa gejala fizikal, misalnya sensitif terhadap sejuk, letih, kulit kering, lambat berfikir dan sembelit.
“Tahap ketiga iaitu Postpartum Psychosis Depression atau Postpartum psikosis lebih dikenali sebagai meroyan dalam kalangan masyarakat Melayu merupakan jenis depresi postpartum yang sangat jarang terjadi, iaitu hanya kurang satu peratus dalam kalangan ibu selepas bersalin.
“Sebahagian besar kes biasanya berlaku dalam dua minggu pertama setelah melahirkan tetapi ada juga kes di mana berlaku pada bulan pertama hingga ke tiga bulan selepas melahirkan,” katanya.
Ini kerana pada minggu pertama, si ibu memerlukan sokongan bukan saja kerana fizikal lemah tetapi juga perasaan yang bercelaru memikirkan mengenai bagaimana mahu menjaga bayi yang masih kecil serta masalah lain.