Bahagian yang paling sukar dalam mendidik anak-anak ialah untuk mendisiplinkan mereka. Anda pasti sukar untuk menghampakan setiap permintaan anak anda dan susah untuk mengatakan “tidak”. Disiplin merupakan bahagian yang paling penting apabila anda memikul tanggungjawab sebagai ibu bapa. Disiplin dan dendaan akibat perlanggaran disiplin amat menbantu anak anda untuk mempelajari apa yang mereka patut dan tidak patut lakukan. Sekiranya mereka tidak mengetahui sempadan dalam bertingkah laku, tidak mustahil mereka boleh disakiti ataupun menyakiti orang lain. Sebagai ibu bapa, sudah menjadi tanggungjawab anda untuk menyediakan makan, minum, tempat tinggal, mencurahkan kasih sayang sepenuhnya dan membimbing mereka untuk memilih jalan yang benar dalam meniti kehidupan ini.
Dewasa ini terdapat pelbagai jenis cara didikan dan juga pelbagai jenis cara mendisiplinkan anak. Peneguhan positif merupakan salah satu cara terbaik dalam mendisiplinkan anak anda. Walaubagaimanapun, setiap tindakan negatif yang diambil pasti akan disusuli dengan kesan yang negatif.
Teknik “Time-Out” merupakan teknik yang sangat digalakkan oleh pakar kanak-kanak khusus untuk mendisiplinkan kanak-kanak dalam usia yang masih muda. Apa yang anda perlu lakukan hanyalah mengasingkan anak anda daripada aktiviti yang sedang dilakukannya untuk satu tempoh masa yang singkat sebagai pengajaran. Bagi kanak-kanak di bawah umur 3 tahun, masa yang dicadangkan adalah tidak lebih dari lima minit. Semakin meningkat usia mereka, semakin lama tempoh masa yang perlu mereka tempuhi dalam “Time-Out”. Penggunaan teknik ini amat sesuai sekiranya anak anda mula melawan mahupun memberontak. Dengan mengasingkan mereka daripada situasi yang mengecewakan mereka, secara tidak langsung anda boleh memberikan mereka masa untuk memberi tumpuan semula supaya lebih fokus dan mengalihkan tenaga mereka.
Memukul atau menggunakan kekerasan dalam mendidik anak adalah sangat tidak digalakkan. Tindakan ini seolah-oleh menunjukkan bahawa kekerasan perlu dibalas dengan kekerasan. Teknik “Time-Out” dan perbincangan tentang mengapa mereka berkelakuan sedemikian jauh lebih efektif daripada bertindak dengan menggunakan kekerasan.
Mendidik anak melalui peneguhan positif merupakan tindakan yang sangat bagus dan terpuji. Jika anak anda melalukan sesuatu yang baik, berilah ganjaran yakni sesuatu yang digemari oleh anak anda. Sebagai contoh, sekiranya anak anda mengemas bilik mereka seperti yang anda kehendaki, berilah ganjaran dengan membawa mereka membeli-belah ataupun menonton wayang.
Memberi didikan melalui teladan juga adalah teknik yang sangat bagus. Ibu bapa kebanyakannya mengharap anak-anak mereka akan mengikut jejak langkah mereka dalam menjalani kehidupan ini. Ramai ibu bapa yang menggunakan telefon bimbit semasa memandu walaupun mereka melarang anak mereka berbuat demikian. Selain itu, sekiranya anda tidak mahu anak anda menjadi seorang perokok, elakkan daripada merokok di hadapan mereka. Berusahalah untuk menjadi seorang role model yang baik.
Perintah berkurung ataupun menggantung kebebasan anak anda merupakan antara tindakan yang kerap kali diambil bagi mendisiplinkan anak-anak yang sedang meningkat dewasa. Tindakan ini sedikit sebanyak mempunyai persamaan dengan teknik “Time-Out” yang sering digunakan semasa mereka masih kecil. Bezanya sekarang ialah tindakan ini menghalang mereka daripada melakukan sesuatu yag mereka suka dan tidak membenarkan mereka berjumpa dengan sesiapa. Dalam melaksanakan perintah berkurung ini, pastikan anda tidak membenarkan anak anda menggunakan telefon bimbit mahupun keluar ke rumah kawan-kawannya.
Walaubagaimanapun, sebelum mengambil apa-apa tindakan, pastikan dendaan yang dikenakan adalah setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan. Jangan sesekali mendenda mereka dengan serius hanya untuk satu kesalahan yang remeh. Anda perlulah bersifat bertimbang rasa dan mengambil kira sama ada kesalahan yang mereka lakukan itu adalah pertama kali ataupun sudah berulang kali dilakukan.
Di samping itu, pastikan anda tegas dan bulat hati dengan setiap tindakan disiplin yang dikenakan kepada anak anda. Sekiranya mereka pulang lewat ke rumah anda akan mendenda mereka untuk berkurung di rumah selama dua hari, anda perlu mengambil tindakan yang sama jika mereka mengulangi kesalahan tersebut. Walaubagaimanapun, sekiranya tindakan ini tidak berkesan, cubalah duduk berbincang dan terangkan bahawa dendaan akan tetap diteruskan jika mereka masih tidak berubah.
Jangan sesekali berlembut hati dengan dendaan yang diberikan dengan meringankan dendaan tersebut hanya kerana hari tersebu merupakan hari istimewanya. Anak anda pasti akan berfikir dua kali sebelum melakukan apa-apa kesalahan terutamanya ketika menjelang hari ulang tahun kelahirannya.
Sumber : Mendidik anak-anak bermaksud menikmati setiap perkara dan tingkah laku mencuit hati yang dilakukan oleh anak anda. Pikullah tanggungjawab untuk mendidik dan membimbing mereka ke jalan yang benar sebaiknya. Mendidik anak-anak memerlukan pengorbanan kerana ia bukannya sentiasa menyeronokkan ataupun terlalu mudah.



