Kerap ke tandas? Tidak tahan hendak ke tandas? Jika berterusan begini bagaimana untuk terus aktif dalam kehidupan. Bagaimanapun 40 peratus mereka yang menderita pundi kencing terlampau aktif atau overactive bladder (OAB) tidak pernah berbincang dengan doktor.
Biasanya apabila terdapat kandungan urin dalam pundi kencing, mesej akan dihantar ke otak dan pesakit akan menyedari dia perlu ke tandas. Dalam keadaan biasa, kita boleh menahan sehingga masa atau tempat yang sesuai untuk kencing.
Tetapi pesakit OAB pengecutan otot di pundi kencing boleh berlaku tanpa amaran dan memerlukan pesakit untuk kencing lebih kerap dan mungkin boleh menyebabkan pesakit tidak tahan untuk kencing sebelum sampai tandas.
Masalah Pundi Terlalu Aktif
OAB menyebabkan seseorang perlu ke tandas banyak kali, dan dalam kes yang lebih serius, mengakibatkan pembuangan air kecil di luar kawalan. OAB boleh dikenal pasti menerusi gejala berikut:
* Terdesak – keperluan segera dan tak boleh ditahan untuk membuang air kecil. Ini boleh berlaku walaupun pundi kencing tidak penuh. Kadangkala, seseorang itu tidak sempat sampai ke tandas sebelum air kencing terkeluar – ini dinamakan inkontinens desakan.
* Kerap – pergi ke tandas banyak kali pada waktu siang (biasanya lebih daripada 7 kali).
* Nokturia – bangun lebih daripada sekali pada waktu malam untuk pergi tandas.
Tanpa pengurusan yang sewajarnya, OAB menyebabkan gangguan fizikal, psikologi dan emosi kepada pesakit. Rasa malu, bersalah dan harga diri yang rendah adalah antara sebab utama bagi kelewatan mendapatkan rawatan.
Dijangkakan seramai 400 juta orang menderita OAB di dunia dengan lebih 22 juta di Peranchis, Jerman, Itali, Sepanyol, Sweden dan United Kingdom (UK).
Kaji selidik ke atas 19,000 lelaki dewasa dan wanita daripada empat negara Eropah dan Kanada mendapati peratusan lelaki dan wanita yang menderita OAB lebih kurang sama dan meningkat dengan peningkatan usia.
OAB disebabkan oleh otot pundi kencing yang terlalu aktif manakala kencing tidak terkawal atau stress urinary incontinence (SUI) semasa aktiviti fizikal senaman, ketawa, bersin atau batuk tanpa sebab yang diketahui. Bagaimanapun SUI sering berlaku akibat otot lantai yang lemah selepas bersalin.
Kini penghidap OAB boleh menarik nafas lega dengan pelancaran Betmiga iaitu rawatan sekali sehari daripada Astellas untuk menangani masalah terlalu kerap buang air kecil.
Betmiga kelas terapi baru untuk merawat OAB berfungsi dengan cara berbeza daripada rawatan yang sedia ada iaitu terapi antimuskarinik. Ubat antimuskarinik adalah satu-satunya kelas rawatan oral lain yang menyekat pengecutan pundi kending di luar kawalan dengan menghalang reseptor muskarinik di dalam pundi.
Mulut kering merupakan salah satu daripada kesan sampingan antimuskarinik yang paling umum dan mengganggu pesakit lantas menyebabkan ubat ini dihentikan. Kajian mendapati bahawa kira-kira separuh daripada pesakit menghentikan rawatan OAB dengan terapi antimuksarinik selepas hanya tiga bulan ke atas sebab kurangnya keberkesanan atau tidak tahan dengan kesan sampingan yang dialami.
Mulut kering merupakan salah satu daripada kesan sampingan antimuskarinik yang paling umum dan mengganggu pesakit, lantas menyebabkan ubat ini dihentikan.
Kini, dengan pelancaran Betmiga®, pesakit mempunyai pilihan rawatan oral alternatif, yang memberikan keseimbangan antara keberkesanan dan toleransi rawatan kepada pesakit.
Berbeza daripada terapi antimuskarinik, ubat ini merangsang reseptor dalam otot pundi kencing, menyebabkan otot mengendur. Ini menambah muatan simpanan pundi tanpa mengganggu pembuangan air kecil, membolehkan pesakit yang mengalami OAB untuk kurang ke tandas dan kurang membuang air kecil di luar kawalan (inkontinens)
OAB, yang merupakan masalah kronik umum, menjejaskan kualiti kehidupan kira-kira 17 peratus daripada orang dewasa di seluruh dunia. Kelaziman OAB meningkat seiring usia dalam kalangan lelaki dan juga wanita, dengan satu pertiga daripada pesakit mengalami inkontinens. Dalam kalangan wanita, sehingga 45 peratus mengalami pembuangan air kecil tak terkawal dalam hidup mereka.
Kelaziman OAB adalah agak tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan hasil kajian mendapati bahawa 64 peratus daripada penghuni bandar mengalami masalah ini. Dalam kalangan golongan profesional yang bekerja, 43 peratus kini menghidap OAB dan 26 peratus pesakit merupakan golongan berpendapatan tinggi.
Walau bagaimanapun, ramai pesakit sering menganggap OAB sebagai sebahagian daripada proses penuaan normal dan menerima keadaan tersebut seadanya, tanpa mendapatkan rawatan doktor.
Ketua dan Perunding Kanan, Jabatan Urologi, Hospital Besar Sarawak. Dr. Teh Guan Chou berkata, OAB mempengaruhi aspek emosi, sosial, seks, kerja dan fizikal dalam kehidupan harian. Keadaan ini sering dikaitkan dengan kualiti kehidupan lebih rendah, kemurungan dan tidur yang kurang lena.
Dalam kes yang lebih serius, ketirisan air kencing di luar kawalan mungkin dialami dan pesakit mungkin perlu memakai pad atau lampin perlindungan untuk mengelakkan situasi yang memalukan.
“Akibatnya, pesakit sering menyisihkan diri daripada kegiatan sosial dan aktiviti fizikal sebagai salah satu tindakan untuk menyorok penyakit mereka. OAB ialah masalah perubatan boleh dirawat dan pesakit yang mengalami gejala seperti membuang air kecil dengan kerap dan terdesak, ketirisan air kencing di luar kawalan dan bangun malam untuk membuang air sekali atau lebih perlu mendapatkan nasihat daripada doktor masing-masing,” katanya,
Menurut Pakar Runding Urologi, Pusat Perubatan Sime Darby Subang Jaya, Selangor, Profesor Datuk Dr. Tan Hui Meng, terdapatnya suatu keperluan untuk rawatan yang berkesan dan ringkas bagi penghidap OAB untuk memperbaiki keadaan mereka.
“Sudah hampir 30 tahun sejak pilihan rawatan oral baru tersedia untuk penghidap OAB, justeru kami mengalu-alukan ubat yang mujarab tanpa gangguan dan kesan sampingan tidak diingini yang dialami dengan terapi antimuskarinik,” tambahnya.
Sementara Pengarah Urusan, Astellas Pharma Singapore Pte. Ltd., Hamaguchi Hiroshi menegaskan, Betmiga® telah dihasilkan dengan mengambil kira keperluan pesakit dan pihaknya berbangga untuk menawarkan ubat ini kepada penghidap OAB di Malaysia.
Menerusi kaedah tindakan inovatif, Betmiga® kini menetapkan piawaian baru dalam rawatan OAB, malah keseimbangan antara keberkesanan dan toleransi terhadapnya akan menambah baik rawatan OAB pada masa depan.