GIGI dan gusi adalah seperti isi dan kuku di mana kedua-duanya berkait rapat dan tahap kesihatan gusi pasti memberi kesan kepada gigi.
Seperti gigi, gusi juga terdedah kepada ancaman daripada pembentukan plak.
Sekiranya plak tidak ditanggalkan secara kerap, termasuk di kawasan di bawah garisan gusi, ia akan merengsakan gusi seterusnya mengakibatkan penyakit gusi.
Penyakit gusi bukan sahaja menyebabkan kesakitan dan pendarahan gusi tetapi juga akan melemahkan sokongan terhadap gigi.
Memberus dan membersihkan gigi secara kerap adalah penting untuk mencegah penyakit gusi.
Bagaimanakah plak menyebabkan penyakit gusi?
Sekiranya dibiarkan, bakteria akan menghasilkan toksin yang akan merengsakan gusi dan merosakkan gigi. Peringkat paling awal kerosakan gusi ialah gingivitis.
Ia adalah keradangan gusi yang boleh menyebabkan gusi menjadi bengkak, lembut dan berdarah ketika memberus atau memflos.
Siapakah yang terdedah kepada penyakit gusi?
Penyakit gusi boleh menjangkiti semua peringkat umur, termasuk kanak-kanak. Bagaimanapun, ia sering menjangkiti golongan dewasa.
Malah, tiga daripada empat orang dewasa melebihi umur 35 tahun kini didapati mempunyai penyakit gusi.
Risiko untuk mendapat penyakit gusi juga bertambah sekiranya anda merokok atau mempunyai penyakit tertentu.
Maka adalah penting untuk memaklumkan doktor gigi tentang keadaan kesihatan semasa anda supaya rawatan yang bersesuaian dapat diberikan.
Apa yang perlu saya lakukan sekiranya saya menghidapi gingivitis?
Penjagaan gigi setiap hari dan kunjungan ke doktor gigi boleh mencegah gingiviti daripada berlaku.
Ia lebih baik dicegah dan dalam kebanyakan kes, penyakit ini dapat disembuhkan dengan segera jika mengamalkan rutin menanggalkan plak setiap hari.
Ini dapat dicapai dengan dua langkah iaitu memberus gigi menggunakan berus gigi yang lembut dan membersihkan celahan gigi menggunakan flos atau alat pergigian yang sesuai.
Kedua-dua langkah ini juga dapat membantu mencegah pembentukan plak pada permukaan gigi dan di bawah garisan gusi.
Gingivitis bukannya satu keadaan yang berkekalan kerana tiada kerosakan kekal berlaku pada tulang yang menyokong gigi.
Bagaimanapun, jika pesakit tidak berusaha mendapatkan rawatan bersesuaian atau tidak menjaga kebersihan gigi dan gusi, masalah ini mungkin melarat kepada kerosakan kekal struktur gusi dan gigi.
Apa itu periodontitis?
Sekiranya tidak dirawat, gingivitis boleh menyebabkan kerosakan gusi yang lebih teruk dipanggil periodontitis atau juga dikenali sebagai penyakit periodontal.
Periodontitis bukan sahaja merosakkan gusi, malahan tulang yang menyokong gigi kedudukan gigi.
Apabila ini berlaku, kerosakannya adalah kekal dan hanya rawatan profesional dan peningkatan terhadap penjagaan gigi di rumah dapat mengelaknya daripada menjadi lebih teruk.
Sekiranya anda mempunyai periodontitis, doktor gigi anda akan memberikan program khusus untuk anda menjaga gigi dan gusi bagi menghalang penyakit itu menjadi lebih teruk.
Apakah gejala yang perlu diperhatikan?
Periodontitis mungkin bermula tanpa sebarang tanda yang jelas.
Oleh itu, pemeriksaan gigi secara berkala adalah penting dan cara terbaik untuk diagnosis dan rawatan awal.
Gejala biasa penyakit ini ialah gusi yang merah dan membengkak serta kelihatan mula melekang dari gigi dan seterusnya menghasilkan satu ruang kosong.
Masalah ini juga sering dikaitkan dengan gigi sensitif, perasaan tekanan tinggi pada celahan gigi dan pendarahan sewaktu memberus atau memflos.
Pada peringkat seterusnya, anda mungkin menghadapi penyusutan gusi, pereputan akar, nanah di celah gigi dan gusi, serta kehilangan gigi.
Bagaimanakah cara untuk mencegah periodontitis daripada berlaku?
Periodontitis boleh dielakkan dengan mengamalkan rutin penjagaan gigi yang baik setiap hari.
Ini dapat dilakukan dengan beberapa cara seperti:
* Memberus dengan teliti, dua kali sehari sebaik-baiknya pada waktu pagi dan sebelum tidur, dengan menggunakan berus gigi yang lembut dan ubat gigi berflourida.
* Bersihkan celahan gigi sekurang-kurangnya sekali setiap hari bagi menanggalkan plak dari kawasan yang tidak tercapai oleh berus gigi.
* Kunjungi doktor gigi dengan kerap, sekurang-kurangnya dua kali setahun atau setiap enam bulan untuk pemeriksaan dan pembersihan gigi.
* Elakkan daripada merokok atau menggunakan tembakau.
* Doktor gigi menyarankan agar berus gigi ditukar setiap tiga bulan atau lebih awal sekiranya ia kelihatan haus kerana kajian menunjukkan berus gigi baru mampu menanggalkan lebih banyak plak berbanding berus gigi berusia lebih tiga bulan.