Perkara Menyeronokkan Yang Boleh Dilakukan Oleh Ibu Bapa dan Anak-anak Dengan Bajet Yang Rendah.

Posted on February 21, 2013 · Posted in Kemahiran Keibubapaan

Sekiranya anda mempunyai anak dan hidup dalam kesederhanaan, pasti anda tercari-cari suatu aktiviti menyeronokkan untuk dilakukan bersama anak anda yang tidak memerlukan kos yang banyak. Terdapat pelbagai aktiviti menyeronokkan yang boleh anda lakukan bersama-sama.

Memasak bersama-sama anak anda merupakan salah satu aktiviti yang menyeronokkan sebenarnya. Mengajak anak anda untuk terlibat sama dalam proses penyediaan makanan merupakan langkah yang bijak dalam menggalakkan mereka untuk memekan pelbagai jenis makanan yang berbeza hasil air tangan mereka sendiri. Anda dan anak anda pasti sering kali gembira apabila memasak bersama. Namun jangan lupa mengajarnya tentang perancangan menu yang baik, membasuh pinggan mangkuk dan menyediakan makanan sampingan yang lain. Anda juga boleh merancang satu projek masakan istimewa seperti membuat salsa bersama-sama. Lupakan tentang kesempurnaan dalam masakan apabila anda memasak bersama anak-anak anda dan tumpukan untuk mengajar dan berseronok bersama mereka.

Perkara Menyeronokkan Yang Boleh Dilakukan Oleh Ibu Bapa dan Anak-anak

Perkara Menyeronokkan Yang Boleh Dilakukan Oleh Ibu Bapa dan Anak-anak

Di samping itu, perlawanan belon air juga merupakan salah satu aktiviti yang menarik dan dapat mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan anak-anak terutamanya pada musim panas. Belon air boleh di dapati dengan mudah di pasar raya dengan harga yang berpatutan. Anda pasti dapat melepaskan tekanan dan bersuka ria bersama keluarga anda melalui aktiviti ini.

Perpustakaan awam juga merupakan salah satu tempat yang dapat membina hubungan yang mesra bersama ahli keluarga anda tanpa perlu mengeluarkan kos yang banyak. Sertailah program yang sering dianjurkan oleh pihak perpustakaan awam seperti program membaca, tayangan filem dan pelbagai pengembaraan yang memberi peluang untuk anda dan anak-anak anda tenggelam bersama lagenda lanun, haiwan dan banyak lagi. Elakkan daripada hanya meminjam buku dan kemudiannya pulang ke rumah dan membacanya dalam bilik masing-masing. Carilah buku yang boleh dibaca bersama dan cuba bina aktiviti menarik dengan menggunakan buku tersebut.

Sebagai contoh, sekiranya anda sekeluarga membaca buku “Treasure Island”, gunakan kreativiti anda untuk membuat peta harta karun yang dilengkapi dengan petunjuk supaya anak-anak anda dapat memikirkan cara yang membolehkan mereka mencari lubuk harta karun. Selain itu, cerita mengenai pengembaraan juga dapat menarik minat seisi keluarga kerana pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan. Pelbagai watak boleh diwujudkan untuk kanak-kanak selain membina satu pentas sketsa kecil bagi membolehkan anak-anak anda terlibat secara langsung dan terpesona dengan cerita yang disampaikan.

Bagi ibu bapa yang berkelapangan pula, cuba luangkan masa berkualiti anda bersama anak-anak dengan menunggang basikal di kawasan perumahan anda. Anda boleh menunggang basikal bersama anak anda di sekeliling kawasan tempat tinggal anda ataupun pergi ke kawasan rekreasi yang berhampiran. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar, terokailah denai-denai semula jadi yang ada di kawasan tempat tinggal anda. Senaman baik untuk anda sekeluarga dan apa yang paling penting ialah masa yang diluangkan bersama anak-anak anda.

Jika anda seorang yang gemarkan aktiviti luar, anda boleh membawa keluarga anda untuk berkhemah. Nikmatilah pengalaman tidur di dalam khemah, membakar ikan di unggun api dan pelbagai lagi aktiviti luar yang menarik. Aktiviti perkhemahan tidak memerlukan kos yang banyak seperti percutian yang lain. Tambahan pula pelbagai aktiviti menyeronokkan boleh dilakukan dengan kos yang minimum seperti mendaki bukit, berenang, memasak menggunakan kayu api dan banyak lagi.

Muzium dan zoo juga merupakan antara tempat yang boleh dilawati bersama anak-anak anda. Kos yang diperlukan juga amat berpatutan selain dapat meraih banyak pengetahuan dan pengalaman yang jarang diperoleh. Anda boleh memilih sejenis haiwan dan arahkan anak anda untuk mendapatkan maklumat sebanyak mungkin mengenai haiwan tersebut sebaik sahaja anda sekeluarga sampai di rumah. Anda boleh mewujudkan pengalaman pembelajaran yang menarik melalui aktiviti seperti ini.

Ibu bapa yang baik juga pasti akan cuba menjadi sekreatif mungkin supaya masa yang dihabiskan bersama anak-anak sangat menyeronokkan. Mengumpul koleksi kumbang dan rama-rama juga merupakan aktiviti yang boleh menarik minat anak anda. Luangkan masa lapang anda untuk berjalan-jalan menikmati keindahan alam sambil mencari dan mengenal pasti pelbagai spesies serangga yang terdapat di negara kita. Anda juga boleh mewujudkan satu buku khas bagi menunjukkan pelbagai jenis daun daripada pelbagai jenis pokok yang ada di Malaysia. Koleksi daun yang dikumpul membolehkan anak anda mengenali kepelbagaian spesies tumbuhan dan fungsinya kepada manusia.

Di samping itu, anda juga sebenarnya boleh meluangkan lebih banyak masa dengan ibu bapa anda dan anak-anak anda. Lawatlah ibu bapa anda di kampong dan ceritakan kisah kehidupan dan sejarah asal usul keluarga anda kepada anak-anak anda.

Sumber : Ibu bapa dan anak-anak memerlukan aktiviti yang boleh dilakukan bersama dan juga mempunyai kos yang minimum. Ibu bapa dan anak yang meluangkan masa bersama dapat membina hubungan yang lebih erat di bawah satu bumbung. 

Memo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.