Rabun dan Kanak-Kanak

Posted on December 9, 2015 · Posted in Pengetahuan am

RABUN jauh merupakan antara masalah penglihatan yang paling biasa berlaku dalam kalangan masyarakat di seluruh dunia.

Keadaan ini berlaku apabila seseorang dapat melihat objek dekat dengan jelas tetapi penglihatan jauh yang kabur, secara tidak langsung menjejaskan kehidupan seharian.

Jika ada yang beranggapan masalah ini hanya dihadapi dalam kalangan orang dewasa ia salah sama sekali, kerana kanak-kanak turut berisiko tinggi menghadapi masalah ini.

Menurut Pakar Mata Kanak-Kanak, Pusat Pakar Mata Antarabangsa (ISEC), Dr. Choong Yee Fong, masalah rabun jauh dalam kalangan kanak-kanak hari ini semakin meningkat terutama sekali di negara-negara membangun.

Tambahnya, masalah tersebut boleh berlaku kepada semua peringkat umur kanak-kanak termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Katanya, masalah tersebut berpunca daripada pelbagai faktor seperti keturunan, pendidikan, dan juga pencahayaan.

“Salah satu faktor yang boleh mengakibatkan masalah rabun jauh ialah faktor keturunan di mana, sekiranya ibu bapa mengalami masalah ini, anak-anak mereka sememangnya berisiko tinggi untuk mewarisinya.

“Bagi faktor pendidikan pula, sekiranya anak-anak mendapat pendidikan sehingga ke peringkat tinggi dan juga melakukan aktiviti seperti menonton televisyen dan bermain gajet yang keterlaluan, mereka akan turut terdedah kepada permasalahan ini.

“Sekiranya kanak-kanak selalu kerap terdedah dengan faktor pencahayaan terlalu terang, membaca di kawasan yang malap serta selalu berada di dalam rumah juga boleh boleh mengakibatkan rabun jauh terjadi,” ujarnya ketika ditemui di kliniknya yang terletak di Level 8, Centrepoint South, Mid Valley City, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menyambung perbualan mengenai hal tersebut, Dr. Yee Fong menjelaskan, statistik kanak-kanak mengalami rabun jaun dari tahun ke tahun pastinya meningkat.

Kajian terakhir dilakukan di negara ini pada tahun 2003 menunjukkan sebanyak satu pertiga yang terjejas adalah kanak-kanak di bawah umur 12 tahun.

Apa yang lebih mengejutkan, peningkatan yang berlaku adalah begitu cepat dan masalah ini tidak boleh dipulihkan kepada keadaan sedia kala tetapi proses menjadi rabun ini boleh diperlahankan.

Ini adalah satu proses semula jadi yang dialami setiap individu yang rabun malah penambahan tahap kerabunan pastinya berlaku sehinggalah kanak-kanak ini mencapai usia dewasa iaitu 18 hingga 20 tahun.

Pun begitu, orang ramai tidak perlu bimbang kerana terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu kanak-kanak ini memperbaiki tahap penglihatan mereka.

Oleh itu adalah penting memastikan kanak-kanak rabun memakai cermin mata untuk memberi keselesaan dan memastikan mereka dapat melihat dengan jelas.

“Dalam usaha untuk memperlahankan proses menjadi rabun serta mengurangkan risiko masalah rabun jauh ini, ibu bapa disaran agar memperuntukkan masa anak-anak untuk bermain di luar rumah sekurang-kurangnya dua jam sehari untuk didedahkan kepada cahaya luar yang lebih semula jadi.

“Selain itu, aktiviti bersama gajet perlu dikurangkan dan penggunaan ubat titis juga dilihat mampu melambatkan proses menjadi rabun jauh. Tetapi perlu diingatkan sekiranya tidak diuruskan dengan betul kanak-kanak ini berisiko tinggi untuk hilang penglihatan mereka pada masa hadapan,” tuturnya lanjut yang juga merupakan Pengarah Urusan Perubatan ISEC.

Dr. Yee Fong berkata, beberapa gejala kanak-kanak yang mengalami rabun jauh dapat dikesan dengan mudah seperti mereka akan dilihat membaca buku pada jarak dekat, akan mengecilkan kedua-dua mata apabila melihat objek yang jauh, kerap ke hadapan untuk melihat sesuatu, sering mengadu tidak nampak, dan melihat dari sudut sisi ke sesuatu objek.

Bagaimanapun, rawatan yang sesuai dan kaedah yang paling mudah untuk kanak-kanak ini ialah penggunaan cermin mata dengan kanta yang betul bersesuaian dengan tahap rabun yang dihadapi.

Selain itu, pemakaian kanta lekap juga digalakkan tetapi rawatan laser atau lasik dinasihatkan tidak digunakan kepada kanak-kanak kerana tidak bersesuaian dengan umur mereka.

“Dalam permasalahan ini saya sebagai doktor menyarankan agar ibu bapa menggalakkan anak masing-masing memakai kaca mata hitam.

“Ini bukan bertujuan untuk bergaya, tetapi adalah untuk melindungi mata anak-anak anda dari sinaran cahaya UV,” katanya.

Sumber : Utusan OnlineMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.