Awal Muharram atau Maal Hijrah merupakan suatu hari yang penting bagi umat Islam kerana menandakan peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam iaitu memperingati penghijrahan Nabi Muhammad s.a.w dari Kota Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada 1 Muharam tahun baru bagi Takwim Hijrah. Namun Tahun Hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah itu diambil sebagai permulaan kiraan bagi kalendar Hijrah.
Di Malaysia hari tersebut merupakan hari keagamaan di mana umat Islam mengadakan solat sunat di masjid-masjid di seluruh negeri. Hari Maal Hijrah atau Awal Muharram merupakan hari cuti umum di Malaysia.
Istilah hijrah biasanya merujuk kepada perjalanan yang diambil oleh umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 622 Masihi dari Makkah ke Madinah. Tujuan penghijrahan ini adalah untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman orang Arab Quraisy telah menjejaskan aktiviti penyebaran ajaran Islam. Hijrah merupakan satu strategi Nabi Muhammad s.a.w untuk mengembangkan Islam dengan aman. Hijrah membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan. Nabi sendiri berhijrah dengan Abu Bakar as-Siddiq. Perjalanan sejauh 320 km ini mengambil masa 8 hari.
Tarikh Hijrah juga menandakan permulaan tahun dan tarikh baru bagi umat Islam. Di dalam Takwim Hijrah, asas kalendarnya adalah berdasarkan pergerakan bulan mengelilingi bumi.