MEMANG perkara biasa jika seseorang kanak-kanak itu diserang demam. Bagaimanapun, jika demam itu diikuti dengan ruam kulit, mata merah dengan lidah membengkak atau kelenjar di leher yang turut membengkak, mungkin anak anda berhadapan dengan Sindrom Kawasaki.
Justeru, jangan berlengah untuk membawanya berjumpa doktor. Sindrom Kawasaki merujuk pada sejenis penyakit yang menyebabkan radang pada salur darah, biasanya pada jantung. Sindrom Kawasaki adalah punca utama masalah jantung bukan konjenital di negara maju.
Contohnya di Amerika, sekitar 19 orang daripada 100,000 kanak-kanak berhadapan dengan sindrom ini. Walaupun ia lebih kerap ditemui di kalangan kanak-kanak yang berasal dari keturunan Jepun dan Korea, Sindrom Kawasaki boleh juga menjejaskan kanak-kanak keturunan lain.
Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Kardiologi, Pusat Perubatan Pantai, Dr Azam Mohd Noor, berkata di Malaysia, Sindrom Kawasaki menunjukkan peningkatan, satu daripadanya mungkin disebabkan pengetahuan mengenainya sudah meluas di kalangan doktor.
“Sindrom Kawasaki biasanya membabitkan kulit, mulut dan kelenjar limfa. Biasanya ia menyerang kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah. Sebenarnya, jika simptom Kawasaki cepat dikesan, pesakit boleh pulih sepenuhnya dalam masa beberapa hari. Jika sebaliknya, ia mungkin membawa komplikasi serius yang menjejaskan jantung,” katanya.
Sindrom Kawasaki buat pertama kalinya dikesan pada 1960 di Jepun oleh pakar kanak-kanak, Tomikasu Kawasaki. Awalnya ia dikenali sebagai sindrom kelenjar dan kulit (mucocutaneous lymph node syndrome) sebelum dinamakan sebagai Sindrom Kawasaki.
Ketika mula dikenali, Sindrom Kawasaki tidak dianggap sebagai penyakit yang berbahaya. Bagaimanapun, selepas sebilangan pesakit di Jepun yang dianggap sudah pulih sepenuhnya meninggal dunia, ia mula mencetuskan tanda tanya. Katanya, daripada bedah siasat, didapati pesakit mengalami radang atau bengkak selain salur darah yang tersumbat.
Dr Azam berkata, sehingga kini ada 25 peratus kanak-kanak yang didiagnos dengan Sindrom Kawasaki. Jika mereka tidak dirawat, risiko berhadapan dengan masalah salur darah membengkak dan tersumbat amat tinggi.
“Walaupun sindrom Kawasaki dikesan pada 1960, punca sebenar sindrom ini tidak diketahui. Ada bukti yang mengaitkan sindrom ini dengan jangkitan kuman atau virus. Bagaimanapun, ada juga bukti yang menunjukkan penyakit ini disebabkan oleh reaksi imun yang tidak terkawal,” katanya
Lebih menyukarkan, tidak ada satu ujian pun yang boleh dilakukan bagi mengenal pasti Sindrom Kawasaki. Diagnos dibuat berdasarkan kriteria simptom yang ada pada pesakit. Kriteri utama adalah demam sekurang-kurangnya lima hari dengan empat simptom dikesan daripada lima yang berikut, iaitu bengkak pada tangan dan kaki, ruam, radang pada mata, kelenjar membengkak dan bibir merah luar biasa. “Masalah utama sindrom Kawasaki adalah komplikasi jantung.
Malah, ia adalah punca utama kematian. Ini kerana jantung mungkin boleh mengalami keradangan secara menyeluruh,” katanya. Komplikasi Sindrom Kawasaki Pesakit Sindrom Kawasaki boleh berhadapan dengan komplikasi penyakit lain terutama masalah jantung. Bagaimanapun, masalah jantung mudah dikenali pasti dengan melakukan imbasan pada jantung (echocardiography).
“Apa yang berlaku ialah salur darah ke jantung akan membengkak sehingga lapan milimeter (mm). Keadaan itu dinamakan “giant aneurysm” (pembesaran arteri secara berlebihan),” katanya. Dr Azam berkata, jika ini berlaku ada kemungkinan salur darah tersumbat dan ia adalah komplikasi jangka masa lama.
Salur darah yang bengkak disebabkan radang boleh mengalami proses penyempitan sekali gus menyebabkan ‘ischemia’ kepada jantung iaitu darah ke otot jantung tidak mencukupi dan menyebabkan kecederaan otot jantung.
“Selain masalah salur darah jantung, radang juga boleh menyebabkan injap jantung tidak berfungsi dengan baik dan kadangkala menyebabkan keradangan di keseluruhan jantung disebabkan takungan air di sekeliling jantung,” katanya.
Walaupun masalah jantung antara komplikasi Sindrom Kawasaki, pesakit mungkin juga berhadapan dengan komplikasi lain seperti hepatitis, radang selaput otak dan pundi hempedu bengkak. Rawatan Rawatan utama untuk Sindrom Kawasaki adalah dengan menggunakan immunoglobulin yang diberikan secara suntikan (intravenous).
Dengan immunoglobulin, bengkak salur jantung akan berkurangan, terutama jika ia diberikan dalam tempoh 10 hari pertama. “Selain itu, penggunaan aspirin juga dapat mengurangkan kadar keradangan pada jantung.
Selepas penggunaan aspirin pada dos yang tinggi untuk mengurangkan radang, aspirin pada dos yang rendah boleh digunakan sebagai ejen pencair darah. Ia boleh mengelakkan pembekuan darah (thrombus),” katanya.
Walaupun pulih, kanak-kanak yang pernah mengalami Sindrom Kawasaki memiliki risiko tambahan untuk mengalami masalah koronari jantung apabila dewasa.