Skizofrenia : Penyakit Boleh di Kawal

Posted on November 12, 2015 · Posted in Pengetahuan am

Di Malaysia, masyarakat memandang serong terhadap pesakit skizofrenia. Penghidap akan digelar sebagai orang gila dan membuatkan mereka terpinggir dan rasa disisihkan oleh masyarakat kerana beranggapan golongan ini boleh mendatangkan bahaya.

Bagi yang masih tidak mengetahui tentang penyakit mental ini, skizofrenia adalah sejenis penyakit mental yang kronik di mana penghidapnya akan mentafsir sesuatu kejadian dalam konteks yang berbeza dengan orang normal dan akan melakukan sesuatu yang bertentangan dengan nilai-nilai norma manusia normal.

Gangguan ini dikaitkan dengan ketidakseimbangan unsur kimia tertentu dalam otak dan apabila ia terjejas, boleh menyebabkan berlaku pelbagai kemungkinan termasuk simptom penyakit mental.

Konsultan Psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Selayang, Dr. Toh Chin Lee berkata, pesakit skizofrenia akan menghadapi gangguan dalam bentuk persepsi, pemikiran, tingkah laku, dan ekspresi emosi yang tidak normal.

“Penghidap akan berhadapan dengan sekurang-kurangnya dua kriteria simptom iaitu gejala positif seperti delusi dan halusinasi, gejala negatif seperti kemurungan, pengasingan diri dan emosi yang tidak terkawal selain pertuturan dan tingkah laku yang tidak teratur.

“Ramai pesakit skizofrenia lambat mendapatkan rawatan kerana keluarga tidak sedar akan perubahan tingkah laku yang dialami oleh pesakit dan situasi yang paling kerap berlaku adalah pesakit dirujuk dahulu untuk berubat dengan bomoh, pawang atau ustaz kerana dipercayai telah disampuk jin, syaitan dan makhluk halus.

“Dengan tanggapan seperti ini, ada kalanya rawatan yang dijalankan tidak menjadi dan mereka terus dibiarkan sehinggalah keadaan tidak dapat dikawal lagi. Ketika itu barulah pesakit dihantar ke hospital dan menyebabkan pesakit mengambil masa yang lama untuk kembali pulih,” katanya dalam bengkel Orang Gila atau Skizophrenia? di Kuala Lumpur,baru-baru ini.

Apabila melibatkan gangguan mental, biasanya masyarakat akan memandangnya sebagai ‘penyakit bukan perubatan’ kerana beranggapan penyakit tersebut tidak menunjukkan elemen yang boleh dilihat. Oleh itu, mereka tidak merujuk kepada doktor perubatan tetapi kepada pengamal perubatan tradisional.

Pensyarah dan Doktor Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Dr. Hazli Zakaria berkata, 54 peratus daripada pesakit psikiatri mempunyai sekurang-kurangnya satu hubungan dengan penyembuh tradisional sebelum berunding dengan perkhidmatan psikiatri.

Katanya, keadaan ini menunjukkan pelbagai lapisan masyarakat di negara-negara membangun juga memilih mereka sebagai pilihan utama.

Ujarnya, perkara tersebut bukan sahaja berlaku di Malaysia, bahkan juga negara-negara lain seperti Indonesia, India, China, Korea, dan Filipina.

“Punca-punca gangguan mental yang ditunjukkan oleh pengamal perubatan tradisional seperti ilmu hitam atau gangguan roh-roh jahat adalah mudah difahami dan boleh diterima untuk pesakit serta keluarga mereka berbanding istilah perubatan moden yang disampaikan.

“Oleh itu, pergantungan mereka kepada pengamal perubatan tradisional adalah sangat tinggi. Ada beberapa kajian yang dilakukan menunjukkan sesetengah daripada rawatan perubatan tradisional berkesan untuk merawat pesakit yang mengalami gangguan mental,” katanya.

Tambahnya, kebergantungan ini tidak boleh disalahkan kerana keadaan keluarga yang terlalu terdesak untuk memulihkan pesakit, kerana mereka tahu jika kes dirujuk kepada perubatan moden, agak mengambil masa lama berbanding rawatan alternatif yang terus memberi penyelesaian kepada masalah mereka.

“Di Ujung Padang, Indonesia, pengamal perubatan tradisional menjadi rujukan utama kepada masyarakat di sana kerana pengamal mempunyai maklumat yang cukup berkaitan dengan perubatan moden dan menggabungkan kedua-dua elemen sebagai satu rawatan,” katanya.

Beliau tidak menafikan kebaikan yang diperoleh daripada rawatan alternatif, tetapi hanya kepada rawatan dalam kes neurosis sahaja.

Mereka yang tergolong di dalam kumpulan ini lazimnya hanya mengalami perubahan dan gangguan di dalam pemikiran, perasaan dan kelakuan tanpa menjejaskan kewarasan mereka tetapi bukan dalam kes psikosis.

“Bagi kes psikosis, penghidap tidak dapat membezakan yang antara realiti atau fantasi yang menjejaskan kewarasan mereka. Skizofrenia adalah di bawah kumpulan psikosis dan mereka perlu dirujuk kepada doktor psikiatri,” ujarnya.

Apabila seseorang itu merujuk kepada pengamal perubatan tradisional, biasanya mereka akan dirawat menggunakan air bacaan, jampi, herba, urutan, dan doa, berbanding di hospital yang menggunakan ubat dan kaunseling sebagai elemen rawatan.

Namun, kedua-duanya menuju matlamat yang sama, iaitu menyembuhkan penyakit, mencegah daripada terus melarat, atau sekurang-kurangnya mengekalkan kesihatan yang sedia ada.

Rawatan tersebut wujud bukanlah bertujuan untuk mengambil alih fungsi perubatan moden, mungkin boleh menjadi pelengkap kepada perubatan moden.

Lebih banyak kajian yang diperlukan bagi mengatasi kesangsian yang timbul apabila menyentuh tentang keberkesanan rawatan moden atau alternatif.

skizofrenia boleh diurus dengan rawatan tertentu, iaitu rawatan oral dan penggunaan ubat anti psikotik.

Ketua Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Prof. Dr. Ahmad Hatim Sulaiman berkata, walaupun pesakit boleh pulih dalam tempoh waktu yang singkat jika dikesan awal, namun kebarangkalian untuk pesakit mendapat kembali penyakit tersebut amat tinggi jika mereka mengabaikan keperluan mengambil ubat-ubatan dan mematuhi jadual rawatan susulan.

“Terdapat kes di mana seorang pesakit yang berjaya sembuh selepas tujuh hari dirawat, kembali semula ke wad psikiatri bagi mendapatkan rawatan kerana ahli keluarganya tidak memantau pesakit untuk mengambil ubat secara berterusan sehingga menyebabkan pesakit menjadi lebih agresif dan bertindak di luar kawalan.

“Apabila ini berlaku, pesakit mengambil masa yang lama untuk pulih sehingga rawatan oral tidak lagi berkesan kepada dirinya dan perlu diberikan suntikan secara bulanan yang bertindak dalam masa jangka panjang berbanding dengan rawatan oral,” katanya.

Menurut Dr. Ahmad Hatim, pentingnya rawatan dan pengambilan ubat-ubatan mengikut preskripsi dan berterusan dapat menjamin keadaan pesakit untuk menjalani kehidupan normal tanpa menghidap kembali skizofrenia.

Kes berulang sebenarnya hanya melewatkan proses untuk pulih dan kebanyakan kes yang berulang, keadaan pesakit makin teruk berbanding episod pertama yang pernah berlaku

Tambahnya, ahli keluarga juga terpaksa menanggung beban yang lebih tinggi kerana keperluan penjagaan di hospital, ubat-ubatan, dan keselamatan sosial semakin meningkat.

Apabila penghidap berhadapan dengan kesukaran untuk pulih mereka perlu menjalani beberapa program bagi membantu pesakit berfungsi atau kembali normal.

Skizofrenia yang tidak dirawat atau lambat dirawat akan memberi tekanan kepada pesakit dan keluarga mereka yang akhirnya akan menjejaskan keputusan klinikal pada masa akan datang jika dirawat.

Dr. Toh Chin Lee berkata,apabila salah seorang ahli keluarga disahkan menghidap penyakit ini, maka seluruh keluarganya juga seakan ‘gila’ kerana terbeban dengan situasi yang boleh mengganggu hubungan kekeluargaan, bebanan kewangan, dan masalah psikologi dalam kalangan ahli keluarga juga boleh terjadi.

Ini katanya, ditambah pula dengan stigma masyarakat yang memandang buruk golongan ini. Sokongan yang sepatutnya diharapkan daripada masyarakat tidak diperoleh, menyebabkan mereka sukar untuk sembuh, sedangkan pada hakikatnya pesakit boleh pulih dan menjalani kehidupan normal jika menerima rawatan yang betul daripada aspek perubatan serta psikologi.

Sebaliknya, ramai pesakit diberhentikan kerja kerana majikan tidak mahu mengambil pekerja yang mempunyai masalah kesihatan mental kerana tidak mahu menanggung risiko.

Tindakan itu hanya akan memberi kesan besar pada aktiviti sosial pesakit.

“Keadaan menjadi lebih teruk apabila pesakit mula menunjukkan pertimbangan yang tidak rasional mengakibatkan risiko untuk mencederakan diri dan orang sekeliling,” kata Dr. Chin Lee.

Menurut sebuah kajian, satu daripada 10 pesakit akan membunuh diri dan dua pertiga daripada kematian ini berlaku dalam tempoh lima tahun pertama mereka disahkan menghidap skizofrenia.

Rawatan moden untuk pesakit skizofrenia melibatkan ubat-ubatan anti psikotik, kaunseling, rehabilitasi dan sokongan sosial daripada orang sekeliling.

Setiap aspek rawatan tersebut penting kerana masih tiada ubat khusus untuk menyembuhkan terus penyakit ini. Pesakit bergantung kepada ubat anti psikotik yang boleh merawat simptom-simptom teruk skizofrenia seperti halusinasi dan delusi.

Sumber : Utusan OnlineMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.