Tidak Sarapan Cenderung Gemuk

Posted on December 26, 2015 · Posted in Pengetahuan am

SARAPAN merupakan waktu makan yang paling penting bagi setiap individu tanpa mengira peringkat umur. Ini kerana, sarapan membekalkan tubuh dengan segala nutrisi yang diperlukan sepanjang hari.

Malangnya, ramai yang tidak menyedari akan kepentingan bersarapan, malah sebahagian rakyat Malaysia tidak mengambil sarapan pagi sehingga menjadi satu trend dalam kalangan masyarakat.

Lebih membimbangkan kajian oleh Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) menunjukkan, kanak-kanak yang mengabaikan sarapan pagi adalah 1.34 kali lebih cenderung mengalami berat badan berlebihan atau obesiti, selain berhadapan masalah-masalah kesihatan yang lain.

Ini kerana, mereka yang tidak mengambil sarapan akan cenderung mengambil makanan berlemak seperti nasi lemak, nasi goreng, ayam goreng dan sebagainya, berbanding makanan yang lebih berkhasiat seperti bijian penuh.

Tabiat ini sekaligus meningkatkan masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan kanak-kanak di negara ini.

“Kanak-kanak yang berlebihan berat badan dan obes mempunyai kemungkinan besar untuk membesar menjadi individu dewasa yang obes.

“Keadaan ini sudah tentu membawa kepada peningkatan penyakit-penyakit kronik yang berkait rapat dengan tabiat pemakanan,” kata Dr. Tee E. Siong, Presiden NSM.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada majlis mengumumkan penemuan penting hasil Kajian Sarapan bagi Kanak-Kanak Sekolah (MyBreakfast), di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kajian yang bermula sejak 2013 oleh NSM dengan kerjasama Nestle itu, bertujuan mengkaji tabiat makan dalam kalangan kanak-kanak sekolah di Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan tahap nutrisi mereka.

Kajian MyBreakfast membabitkan seramai 8,705 murid berusia antara enam hingga 17 tahun.

Dr. E. Siong berkata, hasil kajian juga menunjukkan bahawa satu daripada empat kanak-kanak mengabaikan sarapan sekurang-kurang tiga kali dalam seminggu.

“Seperti yang diketahui, sarapan penting kerana makanan pertama selepas perut kita ‘berpuasa’ selama lapan jam sebaik sahaja tidur.

“Sebagai makanan pertama, sarapan akan membekalkan tenaga dan khasiat untuk tubuh badan memulakan hari dengan lebih sempurna.

“Selain perlu bersarapan, makanan yang diambil juga perlu seimbang dan dalam kuantiti bersesuaian. Ini penting bagi mengatasi masalah kepincangan nutrisi dalam kalangan kanak-kanak di negara ini,” katanya yang turut menyatakan satu daripada empat kanak-kanak mempunyai berat badan berlebihan atau obesiti.

Beliau menambah, kajian tersebut turut menunjukkan empat daripada lima kanak-kanak didapati tidak mengambil sebarang bijian penuh dalam diet mereka dan 99 peratus kanak-kanak juga tidak memenuhi saranan pengambilan bijian penuh harian, iaitu 48 gram sehari.

Katanya, tahap pengambilan bijirin penuh yang sangat rendah ini sangat membimbangkan kerana bijian penuh merupakan sumber vitamin dan mineral yang penting.

“Melalui kajian ini kita bukan sahaja memperoleh maklumat baharu, tetapi beberapa kajian sebelum ini juga telah menunjukkan bahawa pengambilan bijian penuh turut dikaitkan dengan penurunan risiko penyakit-penyakit kronik termasuk penyakit jantung, kencing manis, dan masalah obesiti.

Sementara itu, Pengurus Perniagaan Negara Nestle (Malaysia) Berhad, Nirmalah Thurai, pihaknya gembira menyokong kajian tersebut yang menyediakan pemahaman yang lebih mendalam terhadap rutin sarapan murid-murid sekolah di negara ini.

“Ini merupakan satu sumber berharga yang boleh membawa manfaat kepada semua pihak berkepentingan dan akhirnya membantu melahirkan kanak-kanak Malaysia yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Sebagai sebuah syarikat pemakanan global yang bertanggungjawab, Nestle komited untuk menjadikan sarapan lebih berkhasiat,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Dr. Zaharian Zainuddin berkata, kajian tersebut telah memberi pemahaman yang mendalam mengenai status pemakanan kanak-kanak Malaysia yang boleh digunakan untuk mengukuhkan perancangan dan pelaksanaan dasar.

“Hasil kajian ini menyediakan asas untuk semua pihak berkepentingan termasuk Kementerian Pendidikan dan pihak berkaitan yang lain untuk merancang serta melaksanakan program intervensi bagi menambah baik status berat badan, pengambilan makanan, dan tahap aktiviti fizikal murid-murid sekolah di negara ini.

“Melalui kajian ini juga secara tidak langsung kerajaan akan menjayakan program-program kesedaran mengenai amalan gaya hidup sihat dalam kalangan kanak-kanak sekolah,” ujarnya.

Yang pasti, program intervensi perlu segera dilaksanakan di seluruh negara dalam usaha untuk menangani masalah berat badan berlebihan dan obesiti dalam kalangan murid-murid sekolah hari ini.

Tidak ketinggalan menangani masalah kekurangan pemakanan yang amat jelas sekali di samping menggalakkan tabiat pemakanan yang sihat dan perlu diberikan perhatian serius termasuk memastikan murid-murid sekolah mengamalkan pengambilan sarapan berkhasiat.

Sumber : Utusan OnlineMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.