Dunia hari ini melihatkan kebanyakan manusia berlumba-lumba untuk berada di hadapan. Maka bermulalah kehidupan yang penuh dengan tekanan. Pengaruh dari rakan sebaya boleh menjerat anak anda ke jalan yang salah. Sebagai ibu bapa, adakah kesemua masalah ini menghantui pemikiran anda? Salah satu bahagian dalam mendidik anak-anak ialah dengan mengajar mereka untuk mengatakan “tidak”.
Jurang perbezaan hidup yang ketara antara ibu bapa dan anak kerap kali mewujudkan perselisihan faham. Sukar untuk ibu bapa berkomunikasi secara berkesan dengan anak-anak terutamanya yang mula memasuki zaman remaja di mana jiwa mereka mudah memberontak. Sungguhpun begitu, terdapat beberapa tips yang boleh digunakan oleh ibu bapa bagi membantu anak-anak berada di jalan yang lurus. Sudah pasti sebagai ibu bapa, anda hanya berhak menunjukkan untuk jalan yang lurus, namun pilihan semuanya terletak di tangan mereka.
Salah satu cara untuk membentuk anak anda menjadi insan yang berguna ialah dengan menerapkan sifat kepimpinan dalam diri mereka sejak dari awal lagi. Sifat kepimpinan yang tinggi membolehkan anak anda membesar menjadi seorang yang berdikari dan mampu untuk menjaga diri dengan baik. Sejujurnya, tidakkah itu yang kita semua harapkan?
Mendidik anak anda untuk menjadi seorang pemimpin yang baik bukanlah suatu tugas yang mudah. Ramai mungkin tertanya-tanya bagaimana untuk menanamkan sifat kepimpinan tersebut. Terapkanlah nilai murni dan nilai moral serta ajarilah mereka bagaimana untuk berpegang teguh dengan apa yang telah diajarkan itu. Menjadi seorang ketua secara langsung akan melatih anak anda bagaimana untuk menguruskan satu kumpulan dan bekerja dalam satu pasukan. Seseoran ketua itu seharusnya mengenali bakat dan kebolehan anak buahnya dan membahagikan tugasan mengikut kebolehan masing-masing. Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk menerapkan segala nilai yang positif ini supaya boleh digunakan oleh anak anda di hari muka kelak.
Seseorang yang bergelar pemimpin merupakan individu yang dipilih oleh rakan-rakan mahupun orang di sekeliling, bukannya dengan melantik diri sendiri menjadi ketua dan merasakan anda cukup layak untuk memegang tanggungjawab itu. Oleh itu, ibu bapa perlu menanamkan nilai dan etika yang baik yang mana akan membantu anak anda kearah menjadi seorang pemimpin yang berwibawa. Salah satu tips yang sangat penting dalam hal ini ialah jangan menjadikan jawatan pemimpin itu sebagai objektif utama dalam mendidik anak anda, namun teraplah nilai dan moral yang secukupnya kerana hasil didikan anda itu bakal membuahkan hasil kelak.
Saya pasti ramai ibu bapa di luar sana yang beranggapan bahawa sebanyak mana pun anda cuba untuk mendidik anak anda, mereka pasti tidak akan patuh pada arahan anda. Ini merupakan masalah utama yang dihadapi oleh ibu bapa semasa mula-mula mendidik anak. Walaubagaimanapun, anda tidak boleh memaksa mereka untuk menurut segala perintah anda walaupun ianya baik untuk mereka. Jangan memaksa, tetapi cubalah memujuk dan menerangkan dengan lembut apa rasionalnya tindakan anda itu. Ibu dan bapa perlu menjadi sahabat dalam usaha untuk saling memahami.
Perlu difahami bahawa kanak-kanak tidak dilahirkan semulajadi boleh memahami perasaan orang lain. Jadi semasa bermain di taman permainan, anda perlu mengajar anak anda untuk bermain dengan adil dan tidak mengambil permainan orang lain. Pada masa yang sama, anda perlu memupuk sikap saling berkongsi dalam kehidupan kita. Ibu bapa perlulah berfikir di luar kotak bagi mencari cara inovatif dalam mendidik anak-anak kerana memaksa bukanlah cara terbaik dalam mendidik.
Di samping itu, salah satu cara untuk menanamkan sifat kepimpinan dalam diri anak anda ialah dengan mengajar mereka untuk melihat sesuatu situasi dalam perspektif yang berbeza. Sesuatu situasi itu mungkin boleh memberi pelbagai kesan dan kemungkinan, oleh itu, pemimpin yang baik perlulah menangani konflik yang timbul menggunakan perspektif yang berbeza.
Tabiat membaca kini kurang diterapkan oleh ibu bapa dalam diri anak masing-masing. Seorang pemimpin perlulah dari mereka yang berpengetahuan tinggi. Oleh itu, galakkan anak anda untuk membaca buku dan surat khabar. Membaca kepada anak anda sebelum waktu tidur merupakan antara tips yang baik dalam mendidik anak anda. Kesimpulannya, kanak-kanak belajar daripada apa yang mereka lihat di rumah. Oleh itu, cuba untuk luangkan masa bersama-sama.





