Telah banyak pendapat dan telahan telah diperkatakan oleh banyak pihak tentang bagaimana untuk belajar dengan bersungguh-sungguh. Tahukah anda bahawa belajar bersungguh-sungguh dan belajar secara keterlaluan adalah sama sekali berbeza? Jikadahulu kita lebih menekankan kuantiti masa belajar kita, kini apa yang ditekankan ialah pendekatan yang diambil bagi mencapai proses belajar yang berkesan. Ianya lebih berbentuk objektif dan berorientasikan keputusannya.
Belajar bersungguh-sungguh bukanlah bermaksud anda menghabiskan minggu terakhir sebelum peperiksaan dengan mengadap buku semata-mata. Otak anda tidak mampu untuk menerima terlalu banyak maklumat dalam satu-satu masa. Bagaimana untuk belajar bersungguh-sunguh itu sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Walaubagaimanapun, terdapat beberapa perkara harus diberikan perhatian.
Hadiri semua kuliah. Maklumat yang diterima secara langsung di dalam kelas adalah jauh lebih baik daripada menyalin nota daripada rakan anda. Jika anda hanya mengulangkaji berdasarkan nota yang disalin oleh rakan anda, anda hanya mengehadkan pemahaman anda sama dengan tahap pemahaman rakan anda. Anda juga mungkin akan meniru kesilapan yang dilakukan oleh rakan anda. Hadirilah semua kuliah yang diadakan bagi memastikan anda tidak ketinggalan dalam setiap topik yang diajar, sekaligus memudahkan anda untuk mengulangkaji pelajaran kelak.
Setiap aspek pembelajaran anda adalah sama penting. Kerja rumah yang diberikan guru merupakan satu lagi tugas yang mungkin membebankan bagi anda. Menyiapkan tugasan pada masa yang ditetapkan itulah yang dikatakan belajar bersungguh-sungguh. Melalui tugasan, anda bukan sahaja akan mendalami topik pembelajaran anda dengan lebih mendalam, tetapi anda juga berpeluang belajar untuk menguruskan masa anda dengan baik.Kerja rumah dan tugasan merupakan salah satu cara untuk menilai kefahaman anda dalam topik yang telah dipelajari.
Sama ada anda membaca atau memberi tumpuan sepenuhnya dalam kelas, mengambil nota masih menjadi sati kemestian bagi setiap pelajar. Tabiat mengambil nota akan membantu meningkatkan kefahaman anda. Apa yang ditulis perlulah difahami. Selain itu, anda juga mudah untuk mengingat apa yang anda tulis kerana menulis akan membantu anda untuk mengingat dalam satu tempoh masa yang lama. Pengorganisasian nota adalah amat penting kerana anda boleh membuat rujukan dengan cepat tanpa perlu menyelak satu per satu bagi mencari topik yang anda ingin baca.
Dalam pada itu, anda perlulah menjadi pelajar yang seimbang dari segala segi. Membuat tugasan sama pentingnya dengan memberikan tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Mengulang kaji pelajaran juga sama pentingya dengan melakukan pembacaan tambahan. Ketahuilah bahawa apa yang guru atau pensyarah anda sampaikan di dalam kelas sahaja tidak memadai. Jadikan pelajar yang kreatif dan berinisiatif untuk mendapatkan maklumat tambahan dari pelbagai sumber yang boleh didapati dengan mudah dalam era globalisasi ini. Ianya memerlukan pengorbanan masa dan tenaga yang tinggi, namun percayalah anda pasti akan menuai hasil yang lumayan kelak.
Lakukan perubahan dalam cara belajar anda. Manusia akan mudah bosan jika melakukan perkara yang sama. Anda akan kurang bersemangat dan tidak berminat untuk belajar sekiranya anda hanya membaca, membaca dan terus membaca. Oleh itu, cuba pelbagai cara belajar seperti membuat peta minda, melakukan latih tubi dan belajar secara berkumpulan. Dengan cara ini, anda boleh mengasah minda anda dengan pelbagai cara, sekaligus anda pasti tidak akan berasa bosan.
Setiap orang ingin berjaya dan disanjung oleh masyarakat. Kejayaan dan pengurusan sama saling berhubung kait. Mulakan langkah anda untuk mengulangkaji pelajaran dari awal semester lagi bagi membolehkan anda memanfaatkan masa yang ada. Mengulangkaji sejak awal sangat membantu anda untuk memahami kesemua topik yang telah dipelajari tanpa perlu bersengkang mata di saat-saat akhir.
Jangan paksa diri anda untuk memahami sesuatu topik itu. Belajar merupakan suatu proses yang berperingkat. Jika hari ini anda tidak faham, teruskan membaca dan memahaminya sedikit demi sedikit dari hari ke hari. Pelajar yang bijak akan terus bertanya kepada gurunya sekiranya tidak faham sesuatu topik itu. Tiada apa yang lebih bahaya daripada cuba untuk memahami sesuatu yang baru pada malam peperiksaan. Oleh itu, berpeganglah kepada ilmu yang sudah sedia ada daripada mengerah otak untuk mempelajari suatu yang sukar di saat-saat akhir menjelang peperiksaan. Bagaimana untuk belajar bersungguh-sungguh merupakan topik yang tidak jemu diperkatakan. Namun, apa yang paling penting ialah mulakan langkah anda lebih awal, rancanglah dengan bijak dan pengorganisasian yang baik merupakan perkara yang perlu diberi perhatian dalam usaha menuju kejayaan.




