Bagaimana untuk Belajar secara Efektif

Posted on January 2, 2013 · Posted in Teknik Membelajar Efektif

Belajar secara efektifTeknik belajar secara efektif umumnya merupakan satu kaedah dalam proses menimba ilmu pengetahuan. Malangnya, kebanyakan daripada kita tidak betul-betul memahami isi sebenar apa yang dipelajari dan keadaan ini tidak akan membuahkan apa-apa hasil, hanya membuang masa dan tenaga. Hal ini mungkin disebabkan kita terpaksa membahagikan perhatian kepada banyak perkara lain selain belajar. Belajar merupakan suatu proses yang perlu dilakukan sepanjang hayat (Long Life Learning), bukannya sekadar menghabiskan silibus di sekolah. Oleh yang demikian, penggunaan teknik belajar yang betul sangat penting bagi memastikan ilmu yang dipelajari dapat diingati dan diamalkan sepanjang hayat. Kunci bagi teknik belajar yang baik bukanlah bergantung kepada berapa jam kita memerah otak, tetapi bagaimana kita dapat belajar dengan bijak. Berikut merupakan beberapa cadangan untuk mengamalkan teknik belajar yang betul.

Pendekatan Pembelajaran

Kebanyakan orang mempunyai tanggapan yang negatif mengenai belajar kerana ia dilihat sebagai suatu proses yang membebankan. Proses pembelajaran sepatutnya menjadi aktiviti yang menyeronokkan kerana kita boleh menimba sesuatu ilmu yang baru. Kajian mendapati bahawa selain daripada rajin dan bekerja keras, pendekatan yang betul juga merupakan kunci utama yang perlu diambil kira dalam proses pembelajaran.

Anda perlu sedar bahawa otak bukanlah mesin yang boleh dipaksa untuk menyimpan maklumat mengikut kemahuan anda. Oleh itu, adalah lebih baik sekiranya kita hanya mengikut rentak dan kemampuan otak kita tanpa cuba memaksa diri melakukan apa-apa tugas yang melibatkan keupayaan mental yang tinggi.

Disamping itu, anda juga perlu membina pemikiran yang positif dalam apa jua yang anda lakukan. Namun, lakkan daripada mempunyai pemikiran yang negatif dan pemikiran mutlak kerana pemikiran yang pessimis pasti akan membawa kepada kegagalan.

Setiap individu mempunyai kebolehan dan keupayaan yang berbeza. Oleh itu, elakkkan daripada membanding-bandingkan diri anda dengan orang lain kerana ianya hanya akan menimbulkan ketegangan dan tekanan kepada anda. Tekanan seperti ini membuatkan anda kurang bersemangat dan tidak dapat menunjukkan prestasi yang baik.

Persekitaran Pembelajaran

Persekitaran pembelajaran merangkumi segala apa yang ada disekeliling individu yang sedang belajar, sama ada ianya secara nyata ataupun tidak nyata. Persekitaran pembelajaran seharusnya bebas daripada sebarang bunyi bising. Pelajar dinasihatkan untuk membawa barang atau keperluan yang perlu sahaja semasa belajar kerana barang yang terlalu banyak akan mengganggu tumpuan dan menyebabkan banyak pergerakan. Terdapat juga sesetengah barang yang sangat membantu dalam pembelajaran tetapi seeloknya dijauhi ketika belajar. Sebagai contoh, computer. Komputer merupakan mesin pembelajaran yang sangat efisien tetapi ianya dapat mengganggu fokus pelajar dengan fungsinya yang pelbagai. Oleh itu, cuba untuk menggunakan alternatif lain sebagai bahan bantu belajar. Misalnya, buku teks.

Selain itu, pelajar juga digalakkan mempunyai tempat belajar yang tetap dan jadual belajar yang tersusun. Oleh itu, pelajar dapat menguruskan masa dan tempat belajarnya dengan baik sekaligus memudahkannya untuk menanamkan tabiat membaca. Elakkan daripada menyediakan tempat belajar yang terlalu selesa kerana mood anda pasti akan berubah dan cenderung untuk berehat berbanding belajar

Kaedah Pembelajaran

  • Sudah terbukti bahawa sekiranya anda menggariskan dan menulis semula isi penting di dalam nota anda, anda pasti dapat mengingatinya untuk satu tempoh yang lebih lama. Setiap individu mempunyai cara mencatat nota yang tersendiri. Oleh itu, buatlah nota anda sendiri berbanding mengambil nota rakan-rakan anda kerana anda akan lebih mudah ingat dan faham melalui nota yang dibuat sendiri

  • Anda juga boleh menggunakan permainan memori yang mana dapat melatih memori anda. Pepatah Inggeris ada mengatakan “Practice Makes Perfect”. Lakukanlah latihan sebanyak mungkin bagi menajamkan fikiran dan ingatan anda. Anda juga boleh menggunakan kuiz yang lepas, latihan berdasarkan format peperiksaan dan juga menggunakan kad imbasan bagi mengingat kembali apa yang telah dipelajari sekaigus menambahkan maklumat yang telah sedia ada.

  • Pastikan anda dapat mematuhi jadual waktu belajar anda dengan baik. Kekerapan pembacaan anda tidak penting, apa yang penting ialah kefahaman daripada pembacaan tersebut. Berehatlah sekiranya anda berasa letih, jangan sesekali paksa diri anda untuk belajar.

  • Ketahuilah kehendak anda sendiri supaya anda tidak tersasar dalam apa jua yang anda lakukan. Fokus dalam pembelajaran boleh membantu anda memaksimumkan waktu anda dan mengelakkan percampuran maklumat.

Semua teknik yang telah disebutkan di atas merupakan teknik belajar yang efektif yang mana boleh membantu anda belajar dengan baik tanpa ada sebarang gangguan.

Gambar kredit: Lusi

Memo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.