Impak buruk diet awal

Posted on August 29, 2014 · Posted in Pengetahuan am

Desakan untuk tampil kurus kadang-kala boleh menyebabkan seseorang berasa tertekan. Tanpa mengira latar belakang, usia dan taraf pendidikan, keinginan tampil menarik boleh menjejaskan kesihatan seseorang apabila bertindak mengambil langkah drastik.

Ada wanita mula berdiet seawal remaja atau pada usia lebih muda. Namun bagi yang mula mengawal pemakanan pada usia begitu muda, mereka berhadapan dengan pelbagai kesan negatif terhadap kesihatan.

Kajian yang dibentangkan pada Persatuan Kajian Perlakuan Makan di Seattle, Amerika Syarikat itu membabitkan kajian selama 10 tahun terhadap 1,340 wanita yang mula berdiet ketika mereka memasuki usia 20-an.

Ia meneliti gaya hidup, tabiat pemakanan dan kesihatan mereka ketika usia semakin meningkat.

Kajian itu mendapati wanita yang mula berdiet pada usia remaja, memiliki sifat mengawal berat badan yang terlalu ekstrem tetapi mempunyai keberangkalian tinggi untuk menjadi obes pada 10 tahun seterusnya.
Menurut seorang profesor psikologi Universiti Florida, Pamela Keel, wanita yang terbabit dalam kajian itu didapati mula berdiet pada usia semuda tiga tahun hingga 26 tahun.

“Mula berdiet pada usia yang masih muda membawa kepada masalah lebih besar selepas 10 tahun mereka meninggalkan kolej,” katanya.

Bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sebab mula berdiet pada usia yang muda memberi impak kepada kesihatan ketika usia mula menjengah 30-an ke atas.

Menurut Pamela, kemungkinan wanita berkenaan sememangnya mempunyai pemikiran tersendiri lalu berdiet sejak kecil selain pengaruh sosial sekeliling atau genetik.

Faktor terbabit akan kekal dalam hidup mereka selamanya, sekali gus meningkatkan risiko mengambil jalan mudah untuk kekal kurus dengan cara mengamalkan diet ekstrem dan tidak sihat.

“Malah, penyakit berkaitan pemakanan banyak disumbangkan oleh faktor sosial, psikologi dan biologi,” katanya.

Sementara itu, Dr Holly Lofton daripada Program Pengurusan Berat Badan di Pusat Perubatan Langone NYU, berkata kajian berkenaan menunjukkan biarpun terdapat pelbagai kaedah sihat yang boleh diikuti untuk menurunkan berat badan, ramai wanita muda lebih suka mengamalkan diet ekstrem berbanding mendapatkan bantuan pakar.

Katanya, satu daripada fakta menarik apabila obesiti mencatatkan peningkatan sejak 20 tahun lalu dalam kalangan remaja dan orang muda, usia mereka yang mula berdiet juga semakin muda.

“Memandangkan kajian itu mendapati ada kaitan antara berdiet di usia muda dengan risiko kesihatan pada usia lebih lanjut, penting untuk ibu bapa dan pegawai kesihatan memberi perhatian kepada gadis yang menunjukkan perlakuan obsesif terhadap makanan.

“Ini kerana ia mampu memberi kesan buruk yang mendalam kepada kesihatan mereka pada masa depan,” katanya.

Kajian terbaru itu juga sebenarnya satu peringatan kepada kita semua kerana biarpun pengurangan berat badan selalunya baik kepada kesihatan, namun kaedah tidak seimbang boleh menjejaskan kesihatan diri dan menyumbang kepada masalah lebih besar dalam jangka panjang.

Pakar pengurusan berat badan di Institut Kesihatan Wanita Klinik Cleveland, Dr Karen Cooper, berkata, kunci utama kepada pengurangan berat badan dan mengekalkan berat ideal adalah membuat perubahan gaya hidup yang kekal dengan cara mendapatkan bantuan daripada profesional.

“Bagi mengekalkan berat badan ideal dan mendapat kesan jangka panjang, sikap dan gaya hidup perlu diubah terlebih dulu,” katanya.

Sumber : Harian MetroMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.