Kementerian Kesihatan masih menjalankan kajian berhubung kegunaan jus daun betik sebagai penawar demam denggi, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata, kajian klinikal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap jus daun betik bagi pesakit denggi (denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu) menunjukkan pengambilan 30 mililiter (ml) atau dua sudu besar jus daripada dua daun betik matang setiap hari, selama tiga hari menaikkan jumlah platelet.
Katanya, peningkatan platelet ini hanya satu daripada pelbagai proses yang berlaku dalam pesakit yang menghidap demam denggi.
“Kajian masih lagi diadakan berkaitan kegunaan jus daun betik bagi demam denggi. Pihak kementerian juga tidak menyediakan jus daun betik di hospital kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata demikian mengulas kenyataan oleh pihak tertentu bahawa daun pokok betik mengandungi bahan kima yang berbahaya iaitu ‘cyanogenic glycoside’ yang boleh menyebabkan kegagalan fungsi hati, buah pinggang dan jantung dan seterusnya menyebabkan kematian. – BERNAMA