Terdapat pelbagai jenis kaedah belajar dan setiap individu pasti mempunyai cara belajar yang berbeza. Cara yang berkesan untuk anda, mungkin tidak berkesan untuk orang lain. Walaupun mungkin terdapat pelbagai kaedah belajar yang lebih baik, namun ketahuilah bahawa lulus atau gagalnya seseorang itu bergantung kepada cara belajarnya. Kajian menunjukkan bahawa kesedaran diri merupakan kunci utama dalam mengetahuo kaedah belajar terbaik untuk seseorang itu.
Dalam memilih kaedah belajar yang ingin anda gunakan, anda perlulah mengambil kira hal berikut :
- Persekitarn belajar anda perlulah sesuai. Jauhi perkara atau benda yang boleh mengganggu anda seperti tv, muzik yang terlalu kuat dan makanan yang terlalu banyak.
- Sediakan alat tulis yang mencukupi seperti pensel, pen, pembaris dan kalkulator bagi meminimumkan gangguan sekiranya anda bergerak terlalu banyak.
- Anda juga perlu belajar secara mendalam bagi memastikan anda benar-benar memahami topik yang anda pelajari itu. Jangan sesekali memandang mudah mana-mana topik. Baca semua maklumat berkaitan topik berkenaan.
- Buat satu jadual belajar yang komprehensif. Pastikan waktu rehat dan waktu membaca anda sesuai. Selepas itu, patuhilah jadual belajar anda dengan baik.
Kaedah belajar yang dipilih oleh setiap individu pasti sesuai dengan diri mereka. Terdapat tiga jenis pelajar iaitu pelajar visual, pelajar kinestetik dan pelajar auditori.
Pelajar visual merupakan pelajar yang cenderung untuk belajar melalui penglihatan seperti gambar, graf dan imej. Sekiranya anda tergolong dalam pelajar visual, anda pasti gemar melihat gambar yang berwarna-warni. Oleh itu, kaedah terbaik yang sesuai untuk anda ialah dengan melukis graf dan persembahan bergambar. Dengan cara ini, anda akan lebih bersemangat untuk membaca dan mengulangkaji pelajaran. Anda juga boleh menggunakan kad imbasan yang mempunyai lukisan kecil di bawahnya dan boleh didapati dalam pelbagai warna.
Pelajar auditori pula lebih peka pada bunyi-bunyian. Mereka akan mudah untuk mengingat kembali apa yang diperkatakan oleh guru. Jika anda tergolong dalam kategori ini, c\kaedah belajar yang paling berkesan ialah dengan merekodkan pengajaran guru atau pensyarah anda dan memainkan kembali rekod tersebut semasa anda mengulangkaji pelajaran. Anda juga boleh menjadi seorang yang kreatif dengan mencipta lagu dan merekodkannya.
Pelajar kinestetik ialah pelajar yang cenderung kepada pembelajaran berbentuk fizikal, yakni anda ingin menyentuh apa yang sedang anda pelajari ataupun mengetahui bagaimana ia berfungsi secara fizikal. Pelajar kategori ini mungkin menghadapi sedikit masalah apabila berdepan dengan subjek bahasa seperi bahasa Inggeris tetapi tidak mempunyai masalah dengan subjek lain seperti Sejarah. Oleh itu, cuba kenal pasti isi-isi penting subjek yang anda pelajari dan kaitkannya dengan bentuk-bentuk fizikal di sekeliling anda.
Subjek yang berlainan memerlukan anda menggunakan teknik belajar yang berlainan dan pada masa yang sama mungkin anda juga perlu menggunakan kaedah belajar yang berbeza untuk setiap subjek yang anda pelajari. Sebagai contoh :
- Matematik, Fizik dan subjek Kejuruteraan merupakan subjek yang memerlukan penyelesaian masalah. Oleh itu, anda tidak boleh hanya membaca dan menghafalnya.
- Bagi subjek seperti Biologi, Sejarah, Psikologi atau Sosiologi, anda perlu memecahkannya kepada konsep yang lebih kecil bagi memudahkan anda untuk memahami faktanya dan mendapat gambaran yang lebih jelas.
- Terdapat juga subjek seperti bahasa Inggeris yang dipecahkan kepada unit-unit kecil yang mana memerlukan anda untuk menggabungkannya kembali bagi mendapatkan kesinambungannya diantara satu sama lain.
Terdapat pelbagai jenis kaedah belajar telah ditunjukkan diatas. Pilihlah kaedah yang sesuai dengan diri anda dan apa yang paling penting, kenal pasti dengan baik jenis subjek yang anda pelajari.




