Hubungan antara ibu bapa dan anak bermula sebaik sahaja anak anda dilahirkan dan membesar menempuh kehidupan ini. Hubungan ini akan mengalami pelbagai perubahan dari semasa ke semasa dan ianya juga merupakan hubungan yang berterusan dan akan terus berulang dari generasi ke generasi. Ibu bapa dan anak-anak bertindak balas terhadap sesuatu situasi secara berbeza dan setiap generasi merasakan bahawa mereka lebih bijak dari yang sebelumnya. Generasi yang terdahulu pula berpendapat bahawan generasi kini terlalu hidup selesa dan tidak mempunyai kemahiran untuk mengendalikan tanggungjawab dalam kehidupan seharian. Ya, ianya memang benar.
Hubungan antara ibu bapa dan anak-anak yang dibina dengan baik yakni penuh kasih sayang dan kebahagiaan pasti akan dihargai dan sangat bermakna selamanya. Keluarga yang mempunyai latar belakang yang bersatu hati dan saling memahami mempunyai hubungan kekeluargaan yang sihat berbanding mereka yang datang daripada keluarga yang pincang dan berpecah belah. Walaubagaimanapun, terdapat juga ibu atau bapa tunggal yang mempunyai hubungan yang sangat erat dengan anak-anak mereka. Hal ini mungkin disebabkan mereka belajar daripada kesilapan lalu.
Di samping itu, sekiranya hubungan antara ibu bapa dan anak mula merosot, berkemungkinan besar kedua-dua belah pihak akan mempunyai masalah komunikasi dan pergolakan yang serius. Pelbagai jenis masalah boleh menyumbang kepada hubungan yang tidak sihat antara ibu bapa dan anak. Sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak pada hari ini lebih cepat matang berbanding zaman dahulu. Hal ini menyebabkan mereka bersedia untuk memikul tanggungjawab pada usia yang muda. Namun, masalah mula timbul apabila ibu bapa masih tidak meletakkan kepercayaan yang sepenuhnya kepada anak-anak mereka dan menyebabkan berlakunya perselisihan faham.
Sekiranya masalah mula timbul dalam hubungan ibu bapa dan anak, berusahalah untuk menanganinya secepat mungkin supaya ianya tidak mempengaruhi aktiviti kekeluarga kelak. Mungkin ibu bapa dan anak perlu berjauhan antara satu sama lain untuk seketika bagi meredakan sifat amarah yang menguasai diri sebelum cuba untuk mencari jalan penyelesaiannya. Anak-anak tidak suka dihalang daripada melakukan sesuatu. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang prihatin, cubalah untuk tabah dan bersabar.
Hubungan persahabatan yang utuh boleh terjalin antara ibu bapa dan anak-anak. Oleh itu, hargailah masa dan kesempatan yang masih ada sebaiknya. Kedua-dua belah pihak perlu meyakinkan bahawa mereka saling memerlukan dan saling menghormati. Tanpa hormat dan kepercayaan, sesebuah hubungan itu pasti goyah dan memerlukan pembaikan supaya ianya akan kembali positif.
Anda juga tidak sepatutnya mengabaikan anak mahupun ibu atau ayah anda kerana kesannya sangat buruk dan kadang kala tidak boleh dimaafkan. Sekiranya anda ingin mengekalkan hubungan yang sihat dengan anak anda, anda bukan hanya perlu menjadi ibu bapa yang prihatin tetapi jadilah sahabat baik mereka. Pastikan anak anda berasa selesa untuk meluahkan isi hati dan berkongsi perasaan dengan anda. Proses ini perlu dimulakan dari awal, bukannya apabila anak anda sudah meningkat dewasa kerana adalah agak sukar untuk membina sesuatu hubungan pada ketika itu.
Sebagai seorang yang dewasa, hubungan antara anda dan anak anda merupakan tanggungjawab anda. Oleh itu, sekiranya sebarang masalah timbul, cubalah cari jalan penyelesaian yang terbaik. Ketahuilah bahawa kanak-kanak sememangnya suka didengari dan mahu kita menerima pendapat mereka. Jadi, cubalah untuk berbincang dengan baik supaya kata sepakat dapat dicapai berbanding dengan bertengkar dan menggunakan kekerasan. Ingatlah bahawa masa terus berubah dan kit juga perlu turut sama berubah supaya tidak ketinggalan di belakang.
Sumber : Semua orang mempunyai peluang untuk membina hubungan yang baik dengan anak masing-masing sekiranya mereka memilih untuk bertindak sedemikian. Ibu bapa dan anak-anak juga perlulah saling menghormati supaya komunikasi yang baik dapat diwujudkan, sekaligus dapat mengatasi pelbagai masalah dengan sihat.




