Nasihat Pencegahan Jerebu

Posted on October 31, 2015 · Posted in Pengetahuan am

Nasihat-nasihat pencegahan ini perlulah dipatuhi bagi mengekalkan kesihatan fizikal. Selain kesan terhadap kesihatan fizikal, jerebu juga memberi kesan negatif terhadap kesihatan emosi individu.

Hubung kait keadaan persekitaran seperti cuaca dan emosi telah banyak dikaji. Dapatan-dapatan kajian jelas menunjukkan bahawa cuaca menyebabkan kesan negatif terhadap emosi diri seseorang. Pada musim-musim tertentu, seperti musim sejuk, hujan dan panas yang keterlaluan, individu cenderung untuk mengalami peningkatan emosi negatif seperti kemurungan dan kebimbangan.

Menurut buku Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders – 5, terbitan Persatuan Psikologi Amerika, kecelaruan emosi berkaitan perubahan cuaca ini dinamakan Kecelaruan Perasaan Bermusim atau dalam bahasa Inggerisnya Seasonal Affective Disorder.

Cuaca dan emosi

Di negara-negara dengan empat musim, kecelaruan emosi didapati meningkat terutamanya semasa musim sejuk dan musim panas yang melampau. Cuaca panas melampau didapati mencetuskan peningkatan sikap agresif individu. Manakala cuaca sejuk dan basah seperti musim salji dan musim hujan mencetuskan emosi murung.

Terdapat pelbagai penjelasan tentang mengapa seseorang cenderung untuk mengalami kemurungan semasa musim sejuk dan basah. Salah satu hipotesis yang diutarakan berkait dengan jumlah cahaya matahari yang diterima oleh otak. Cahaya membantu otak dalam menentukan apa yang dipanggil circadian rhythms. Ini merujuk kepada proses perubahan dalaman badan mengikut kitaran masa, terutamanya tindak balas badan terhadap cahaya dan kegelapan atau siang dan malam.

Cahaya itu mencetuskan pelbagai reaksi kimia dalam otak yang menjadikan individu lebih peka dan gembira. Suasana gelap dan mendung pula cenderung untuk menghasilkan emosi sebaliknya.

Badan bertindak balas terhadap kegelapan dengan menghasilkan hormon melatonin yang merupakan sejenis hormon menyebabkan rasa letih dan mengantuk. Sebaliknya, cahaya juga membuatkan kita menghasilkan lebih banyak hormon serotonin dan ini menyebabkan otak kita menghasilkan hormon tertentu yang membuatkan kita lebih peka dan ceria.

Berdasarkan hipotesis cahaya dan emosi ini, perubahan emosi yang berlaku semasa musim sejuk dan hujan dipercayai berkaitan dengan pengurangan jumlah cahaya yang diterima oleh otak. Oleh yang demikian, apa-apa keadaan cuaca yang menyebabkan keadaan gelap dan mendung, seperti keadaan jerebu sekarang, akan mempengaruhi pengeluaran hormon tersebut.

Seterusnya, ini akan mempengaruhi emosi diri individu. Selain cahaya, perubahan gaya hidup seharian seperti keterbatasan aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan, khususnya aktiviti yang melibatkan interaksi sosial, turut menyumbang terhadap perubahan emosi. Ini kerana, pergaulan sosial merupakan salah satu cara yang sangat berkesan dalam mencetuskan emosi positif diri.

Menurut satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Kesihatan Malaysia dalam tahun 2008 yang melibatkan pelajar-pelajar sebuah universiti di Kuala Lumpur, jerebu menyebabkan peningkatan emosi yang ketara seperti “merasa tertekan”, “tidak bertenaga”, “malas”, “cemas dan takut”, “gelisah dan cepat marah”, dan “tidak mempunyai selera makan”.

Selain itu, dalam satu kajian lain yang dijalankan terhadap posting di media sosial Twitter di Singapura, penyelidik mendapati bahawa terdapat peningkatan emosi negatif melalui posting yang dibuat sewaktu puncak keterukan jerebu. Peningkatan ketara emosi negatif jelas daripada penggunaan ayat sumpah seranah, selain paparan perkataan yang menggambarkan emosi bimbang dan marah.

Keadaan cuaca berjerebu yang dialami sekarang jelas mempengaruhi emosi individu ke arah yang lebih negatif. Oleh yang demikian, selain mematuhi nasihat-nasihat perubatan, kepentingan untuk merangsang emosi ke arah yang lebih positif adalah sangat jelas.

Pelbagai kaedah untuk merang­sang emosi positif yang pernah diutarakan dalam ruangan yang lepas boleh digunakan untuk mengekalkan tahap kesihatan yang baik secara menyeluruh.

PENULIS ialah Penyelaras / Pensyarah Psikologi Sukan Unit Sains Sukan, Pusat Pengajian Sains Perubatan, Universiti Sains Malaysia, Kampus Kesihatan, Kelantan.Memo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.