Seseorang itu mungkin berjaya atau gagal bergantung kepada tabiat yang mereka telah biasa. Kamu boleh kekal cemerlang sepanjang hidup dan mencapai matlamat kamu tanpa mengira halangan dan cabaran jika kamu mempunyai sikap serta fikiran yang betul. Mulakan tabiat yang baik supaya kamu mempunyai kehidupan yang boleh di banggakan pada masa hadapan.
Memotivasikan diri : Motivasi merupakan langkah pertama dalam perjalanan kamu untuk mencapai matlamat dan juga dapat memastikan kamu tidak berputus asa. Orang yang dapat memotivasikan kamu pastinya diri kamu sendiri. Selalu bayangkan diri kamu seorang yang tabah, kuat dan boleh mencapai segalanya selagi kamu berusaha dengan sedaya upaya kamu. Kamu juga boleh mencari orang untuk menyokong kamu dari belakang supaya kamu rasa lebih bersemangat.
Meneliti perkembangan : Buat jadual bagi melihat sejauh mana kamu telah berjaya maju dalam mencapai matlamat kamu. Kamu boleh melakukannya dengan menggunakan sistem kalender, senarai bertulis, jadual harian atau diari. Apabila menetapkan matlamat, kamu perlu jelas dan tetapkan tarikh akhir untuk kamu mencapai matlamat itu. Kamu juga sepatutnya merubah jadual kamu itu mengikut perkembangan semasa tetapi jangan pula kamu hilang tujuan sebenar kamu. Fokuskan minda kamu dan jangan terlepas pandang matlamat kamu walau dengan pelbagai halangan.
Berlatih selalu untuk kesempurnaan : Ia pastinya mengambil masa dan banyak latihan untuk kamu memperolehi tabiat yang betul untuk berjaya dan mencapai matlamat kamu. Antara perkara yang kamu perlu latih diri kamu adalah dari segi bersabar dan mendisiplinkan diri. Disiplin dalam melepaskan sesuatu perkara yang kamu amat suka lakukan tapi tidak berfaedah dalam membantu mencapai matlamat kamu. Sebagai contoh, untuk kurus kamu perlu melupakan hasrat untuk makan kek dan manisan yang kamu sukai setiap hari. Tapi, kamu boleh menetapkan jangka masa kamu perlu disiplin. Mungkin kamu boleh makan ketika jamuan dan sebagainya. Dengan latihan kamu akan dapat melihat diri kamu lebih konsisten dengan tabiat itu di masa hadapan.
Bersikap optimis : pastikan ia menjadi tabiat kamu untuk bersikap optimis setiap masa supaya kamu boleh menarik aura positif di sekeliling kamu. Dengan cara itu kamu akan dapat pertolongan tambahan, tip-tip dan dorongan dalam mencapai matlamat kamu. Walaupun kamu menghadapi kesukaran, pastikan kamu sentiasa bersikap positif di dalam setiap yang kamu lakukan. Jangan berputus asa walaupun kamu gagal dan teruskan usaha untuk menjadi lebih baik lagi. Pengalaman merupakan guru terbaik bagi kamu. Teruskan dengan tabiat positif dan kamu pasti akan berjaya sepanjang kehidupan kamu.



