Perubahan Hormon Menopaus

Posted on October 30, 2015 · Posted in Pengetahuan am

Perubahan hormon yang berlaku semasa seorang wanita menghadapi menopaus mempunyai kesan jangka pendek dan kesan jangka panjang yang boleh memberikan kesan negatif kepada kehidupan seseorang. Gejala atau simptom yang dialami tidak semestinya menandakan seseorang wanita itu telah mengalami menopaus.

Salah satu cara untuk memastikan sama ada seseorang wanita menopaus atau tidak adalah dengan menyukat aras Hormon Perangsang Folikel (FSH). Apabila ovari gagal menghasilkan hormon estrogen, aras hormon FSH meningkat akibat rangsangan pituatari untuk menghasilkan estrogen. Maka, aras FSH yang tinggi ialah satu bukti yang menunjukkan bahawa wanita telah menopaus. Selalunya, doktor yang melihat keputusan ujian akan memberitahu wanita berkenaan sama ada dia mengalami fasa klimaterik atau menopaus.

Apabila seseorang wanita menghampiri menopaus, kitaran haidnya akan menjadi tidak stabil. Kadang-kadang, wanita itu mendapati haidnya terlalu kerap atau terlalu jarang-jarang. Selain itu, terdapat gejala lain yang akan turut berlaku iaitu hangat memerah (hot flushes), kedatangan haid yang tidak menentu, perubahan emosi, kekurangan tumpuan, kekeringan kulit, kekeringan faraj dan kesakitan semasa hubungan seks. Hangat memerah merujuk kepada rasa hangat yang dialami secara tiba-tiba pada waktu malam, yang dirasai pada bahagian atas badan akibat pengembangan pembuluh darah.

Selain itu, wanita juga akan mengalami perasaan tidak bermaya dan selalu letih, menghadapi masalah sistem urinari (kencing kerap, kencing tidak terkawal dan tidak lawas atau sakit semasa kencing). Namun, tidak semua wanita akan mengalami gejala seperti yang dinyatakan itu. Setiap wanita yang menghampiri menopaus akan menempuh pengalaman yang berbeza.

Peredaran pusingan haid yang tidak menentu mungkin boleh berlaku pada peringkat usia menopaus. Sesetengah wanita tidak mengalami masalah jika berlaku pendarahan yang tidak menentu semasa usia menopaus, tetapi ada juga wanita yang mengalami pendarahan yang berlebihan. Justeru, sudah menjadi kebiasaan bagi wanita pada usia ini akan kerap mengalami haid, dan ada juga yang haidnya tidak teratur, iaitu selang dua atau tiga bulan sekali.

Hampir setengah hingga tiga per empat wanita menopaus mengalami gejala hangat memerah.Sebanyak 85 peratus daripadanya mengalami gejala ini selama lebih daripada setahun. Manakala sebanyak 25 hingga 50 peratus pula mengalaminya selama lima tahun. Gejala tersebut paling banyak dialami pada usia 48 hingga 55 tahun. Kekerapan dan keterukan keluhan terhadap gejala ini akan berkurangan dengan meningkatnya usia seseorang.

Gejala hangat memerah sering kali menyebabkan wanita terbangun daripada tidur sehingga mengakibatkan dia mengalami insomnia.

Selanjutnya, keadaan ini akan menimbulkan pelbagai keluhan yang lain seperti gelisah yang tidak menentu, rasa takut, mudah marah atau sedih, sering gugup, berdebar-debar, serta daya ingatan dan tumpuan berfikir menjadi semakin berkurangan.

Hangat memerah merupakan keluhan berupa perasaan hangat yang muncul secara tiba-tiba. Gejala ini disertai dengan peluh yang banyak. Mulanya, gejala ini muncul pada malam hari atau menjelang pagi, dan lambat-laun akan dirasakan juga pada siang hari. Bahagian yang mengalami gejala ini akan kelihatan kemerah-merahan.

Perubahan emosi yang boleh berlaku disebabkan oleh menopaus ialah kemurungan akibat rasa kecewa serta putus asa, kemarahan yang tidak boleh dikawal, tumpuan dan perhatian menjadi tidak fokus, perubahan emosi yang ketara, serta perasaan mudah letih dan tidak bertenaga.

Wanita yang menopaus akan mengalami kekeringan faraj. Ia berlaku disebabkan oleh lapisan tisu pada faraj (vagina) telah menjadi lebih nipis, kering dan kurang kenyal akibat kekurangan hormon estrogen.

Selain kekeringan faraj, antara gejala lain yang akan dirasai termasuklah kegatalan, dan kesakitan ketika mengadakan hubungan seks (dyspareunia). Perubahan ini juga menyebabkan risiko jangkitan kuman pada faraj.

Faktor kekurangan hormon androgen pula menyebabkan penurunan nafsu seks, keseronokan, ketahanan badan dan kekuatan tenaga serta stamina wanita untuk melakukannya. Kesemua gejala ini menyumbang kepada disfungsi seksual.

Sebahagian daripada proses menjadi tua termasuklah kulit menjadi kurang kenyal dan nipis. Keadaan ini menyebabkan berlakunya jangkitan kuman pada kulit, mudah luka dan juga proses kedutan mudah berlaku.

Bulu pada bahagian muka yang sebelum ini tidak kelihatan, kini dapat dilihat di sekeliling mulut. Kadang-kadang, pertumbuhan bulu yang luar biasa ini disebabkan oleh aras hormon androgen yang tinggi berbanding dengan hormon estrogen. Selain itu, rambut juga akan menjadi nipis, panjang dan lurus atau berminyak, dan kulit kepala menjadi gatal atau berkuping-kuping.

Wanita juga mendapati berat badannya bertambah di sekitar pinggang dan pinggul, paha dan bahu. Perutnya mungkin akan berasa kembung kerana perut menyimpan air, terutamanya dalam minggu sebelum atau sepatutnya dia didatangi haid.

Sumber : Utusan MalaysiaMemo Plus Gold

0saves


Sekiranya anda meminati post ini,sila kemukakan catatan atau or langgani RSS feed RSS feed menerima artikel yang akan datang terus ke pembaca feed anda.