PEMAKANAN yang tidak seimbang dan kurang bersenam sering didakwa merupakan faktor penyebab masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
Bagaimanapun, penemuan terbaharu daripada pakar nutrisi dan pemakanan kanak-kanak Brazil, Nataniel Viuniski mendapati, tekanan turut menjadi punca kepada masalah kegemukan seorang kanak-kanak.
“Faktor tekanan merupakan salah satu penyebab penyakit obesiti dalam kalangan kanak-kanak.
“Ini kerana, apabila fikiran mereka berada dalam keadaan tertekan, tubuh akan melepaskan hormon kortisol yang akan menyebabkan kanak-kanak tersebut sering terasa lapar,” jelasnya.
Ujarnya, saat lapar pula, kanak-kanak cenderung untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang banyak dan ia secara tidak langsung menyumbang kepada peningkatan berat badan yang mendadak.
“Perkara tersebut membawa kesan buruk terhadap kesihatan kanak-kanak kerana mereka dikhuatiri mudah diserang penyakit jantung, diabetis dan kanser apabila mereka dewasa,” ujarnya.