Kebanyakan mereka yang cemerlang dalam pelajaran merupakan pelajar yang belajar secara bijak, bukannya belajar secara keterlaluan. Anda tidak semestinya perlu mengerah otak dan tenaga selama berjam-jam untuk memahami topik-topik tertentu sekiranya ingin cemerlang dalam pelajaran. Sebaliknya, semakin kurang masa yang diambil untuk belajar secara bijak adalah baik. Hal ini memerlukan anda untuk belajar dalam perspektif holistik di mana anda melihat semua aspek sebagai satu. Anda juga perlu mewujudkan perkaitan antara fakta-fakta yang berbeza semasa anda belajar dan cuba hubungkan setiap fakta tersebut.
Jika anda ingin belajar secara bijak, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah jangan memaksa otak anda untuk menerima maklumat. Sekiranya anda berasa otak anda dipaksa untuk bekerja, itu bermaksud anda belajar secara keterlaluan. Maklumat perlulah diserap oleh otak dengan baik tanpa ada sebarang tekanan. Oleh itu, rehatlah seketika sekiranya anda dapat merasakan bahawa otak anda sudah tidak mampu untuk menerima sebarang maklumat pada ketika itu.
Perkara yang paling penting dan mencabar yang perlu anda tahu dan buat ketika belajar secara bijak ialah membuat gambaran mental tentang apa yang sedang anda baca. Cubalah sedaya upaya anda untuk berimaginasi dan membayangkan maklumat tersebut dalam bentuk realiti. Penggunaan metafora juga merupakan salah satu cara untuk memudahkan maklumat yang rumit dan kompleks supaya ianya lebih mudah difahami.
Selain itu, anda juga perlu menguji kefahaman anda bagi membolehkan anda mengukur apa yang telah anda capai dalam proses pembelajaran anda. Terdapat pelbagai cara boleh dilakukan seperti menerangkan tentang isi pembelajaran yang anda faham kepada rakan anda, mengajar rakan anda tentang apa yang telah anda pelajari dan membuat latih tubi bagi menguji pengetahuan anda.
Sekiranya anda ingin mengetahui bagaimana untuk belajar secara bijak, anda juga perlulah tahu bagaimana untuk menggunakan masa yang ada untuk belajar mengikut kemampuan anda. Sesuaikan masa anda dan apa yang ingin anda pelajari supaya anda mampu untuk menghabiskan semua topik walaupun masa yang ada tidak terlalu banyak. Hal ini bermaksud anda perlu memastikan bahawa anda mampu untuk membaca, mendengar dan membuat nota secara efektif serta pastikan bahawa persekitaran anda kondusif untuk belajar. Kenali tahap dan kebolehan diri anda supaya anda boleh memaksimumkan penggunaan masa anda yang minimum itu.
Di samping itu, anda juga perlu mengetahui masa yang sesuai untuk belajar dan masa yang tidak sesuai untuk belajar. Belajarlah apabila anda rasa bertenaga dan segar supaya anda dapat memahami sepenuhnya isi pelajaran yang anda baca. Jika anda sedar waktu mana yang sesuai untuk anda belajar dan mengulangkaji pelajaran, ini bermakna anda sudah tahu bagaimana untuk belajar secara bijak. Anda juga perlu merancang tempoh masa yang sesuai untuk belajar supaya anda mendapat rehat yang secukupnya. Pelajar yang bijak tahu bahawa adalah bagus untuk menyemak semula nota sebaik sahaj kuliah tamat kerana maklumat yang diterima pada ketika itu masih lagi segar.
Membaca secara efektif juga bermaksud anda perlu membaca dengan bijak yakni memerikan tumpuan kepada pengenalan dan ringkasan sesuatu tajuk bagi mendapat gambaran awal apa yang bakal anda baca. Tanya soalan pada diri anda sendiri supaya anda dapat mengingat kembali, menyebut dan menggambarkan apa sedang anda pelajari. Kemahiran mendengar juga penting supaya anda dapat mendengar dengan teliti setiap isi yang disampikan oleh pensyarah anda. Pastikan anda menulis maklumat yang penting terlebih dahulu dan jangan lupa untuk menyemak semula nota tersebut secara teratur.
Sekiranya anda mengikut semua arahan dan tips yang telah diberikan, anda pasti tahu bagaimana untuk belajar secara bijak sekaligus meningkatkan pencapaian anda.




