Kajian psikologi pendidikan menunjukkan bahawa jumlah maklumat yang mampu diingati mencerminkan keputusan yang anda peroleh. Anda sepatutnya menyedari bahawa adalah lebih baik untuk belajar dengan bijak daripada belajar dengan bersungguh-sungguh kerana pelajar yang belajar dengan bijak dilihat mendapat keputusan yang lebih baik. Mengulangkaji pelajaran dalam satu jangka masa yang lama tidak akan menjamin anda akan mendapat keputusan yang cemerlang.
Menurut kajian psikologi pendidikan, mereka yang menggunakan teknik belajar SQ3R berupaya memperoleh keputusan yang cemerlang berbanding mereka yang tidak menggunakannya. Hal ini bermakna, murid yang melakukan tinjauan (Survey) keatas isi kandungan pelajaran sebelum membaca, bertanyakan soalan (Question) kepada diri sendiri semasa membaca , membaca (Read) isi kandungan berulang kali dan melafazkannya (Recite) serta menyemak semula (Review) apa yang dibaca mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk memahami konsep pelajaran tersebut secara menyeluruh.
Melakukan survey atau tinjauan secara kasar merupakan salah satu cara untuk membiasakan diri anda dengan topik yang bakal dipelajari. Anda perlu meneliti setiap maklumat secara terperinci termasuk melihat tajuk, sub tajuk dan ringkasan di akhir setiap bab. Menurut kajian psikologi pendidikan, tinjauan secara kasar ini merupakan persediaan awal kepada pelajar untuk mendalami isi sebenar topik pembelajaran yang bakal dipelajari.
Teknik penyoalan pula membolehkan pelajar berfikir dan mendalami sesuatu topik itu dengan lebih mendalam. Teknik ini membolehkan pelajar belajar secara lebih efektif. Melalui penyoalan sesuatu topik itu, kita boleh mengembangkan lagi skop pembelajaran sekaligus menimbulkan semangat inkuiri dalam diri pelajar.
Membaca keseluruhan topik secara umum membolehkan pelajar mendapat gambaran awal dan memahami topik berkenaan dengan lebih baik. Kajian psikologi pendidikan juga menunjukkan bahawa melalui pembacaan seperti ini, pelajar akan mendapat jawapan kepada persoalan yang diutarakan sebelum ini sekaligus dapat meningkatkan keupayaan mengingat dan menambahkan kefahaman mereka.
Menyebut atau melafazkan isi pembacaan terbukti membantu pelajarmemahami isi pembelajaran dengan lebih mendalam. Hal ini adalah kerana pelajar akan pelajar perlu menyebut satu persatu isi penting yang dibaca dan memahaminya. Anda juga boleh merekodkan apa yang anda ingat melalui pembacaan yang dibuat sebelum ini dan menggunakan rekod tersebut sebagai salah satu bahan ulangkaji.
Mengingat kembali apa yang anda baca merupakan langkah terakhir dalam sesuatu pembacaan kerana tindakan ini akan membantu minda anda untuk memahami konsep yang dipelajari dengan lebih baik. Kajian psikologi menekankan bahawa seseorang pelajar itu seharusnya dapat mendalami dan memahami apa yang dipelajari secara terperinci dan ianya hanya dapat dilakukan melalui proses mengingat kembali.
Di samping itu, anda juga perlu memastikan bahawa tempat belajar anda sesuai dan bebas daripada sebarang gangguan. Pada masa yang sama, tempat belajar anda juga tidak boleh terlalu sunyi dan bosan kerana anda mungkin akan cepat mengantuk. Oleh itu, anda boleh mendengar alunan muzik yang perlahan bagi menghilangkan rasa bosan. Menguji kefahaman juga sangat penting bagi mengenal pasti di mana kelemahan anda. Sesi belajar yang panjang dan diselangi dengan waktu rehat merupakan satu kaedah ataupun jadual belajar yang terbukti berkesan.
Selain itu, kajian psikologi juga membuktikan bahawa pelajar perlu membuat nota yang efektif dan tersusun bagi memudahkan pembacaan sekaligus membantu menjadikan proses mencari maklumat lebih aktif. Nota-nota ini perlulah digunakan sebaiknya untuk ulangkaji, bukan sekadar membuat nota kerana mengikut nasihat guru semata-mata.
Anda juga perlu sentiasa memastikan hala tuju dalam proses pembelajaran supaya anda bermotivasi untuk berjaya di dalam pelajaran. Jangan lupa untuk menggunakan teknik mnemonik bagi memudahkan penghafalan anda dalam tajuk-tajuk yang rumit dan kompleks sekaligus mewujudkan mood belajar yang lebih santai dan menyeronokkan. Walaubagaimanapun, pastikan anda tidak terkeliru dengan mnemonik ciptaan anda sendiri.
Kesimpulannya, kajian psikologi pendidkan amat menitikberatkan perancangan strategi pembelajaran yang baik supaya anda akan dapat menuai hasil yang memuaskan kelak. Jadi, apa salahnya jika anda mencuba!




